Pesanan Panaja

Wednesday, November 16, 2011

Pihak Yang Berakad(JualBeli)

Pihak yang berakad adalah merupakan pihak yang membuat tawaran dan ianya adalah orang yang boleh melakukan akad kerana mempunyai kelayakan (al-ahliyyah), kuasa (al-wilayah), perwakilan (al-wakalah) dan bertindak tanpa izin (al-fadalah).

Al-Ahliyyah
Al-ahliyyah bererti kelayakan atau keupayaan dalam melakukan akad pada pandangan syarak. Kelayakan ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu.



1-Kelayakan untuk menerima (Aliyyah al-wujud)
Maksud kelayakan ini ialah untuk menerima hak dan tanggungjawab Syarak dan kelayakan ini akan dimiliki oleh setiap manusia yang hidup tidak kira sama ada dia masih kecil ataupun dewasa, berakal atau sebaliknya serta sihat mahupun sakit. Kelayakan ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu menerima secara sempurna (ahliyyah al-wujud al-kamilah) dan menerima secara tidak sempurna (ahliyyyah al-wujud al-naqisah)
2- Kelayakan untuk melaksana (Ahliyyah al-ada’)
Maksud kelayakan bagi seseorang itu melaksanakan segala hak dan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh syarak. Orang yang memiliki kelayakan ini boleh melakukan akad kerana apabila seseorang itu berakal dan mumayyiz. Mumayyiz ini adalah sangat penting kerana dengan mumayyiz seseorang itu dapat memahami segala tindakan itu adalah baik ataupun sebaliknya. Kelayakan ini terbahagi kepada dua iaitu kelayakan melaksana secara sempurna (ahliyyah al-kamilah) dan kelayakan melaksana secara tidak sempurna (ahliyyah al-ada’ al-naqisah)

Di bawah adalah dalil-dalil yang berkaitan dengan pihak yang layak berakad dan dalil-dalil tersebut ialah :

“Barangsiapa menjual seorang budak yang memiliki harta, maka harta budak itu adalah milik penjualnya, kecuali bila pembelinya mensyaratkan agar harta tersebut menjadi miliknya.”
                        (HR. al-Bukhary dan Muslim)


“Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan bagimu.”                                                                             (Qs. an-Nisa': 5)

"... Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang timbul dari kerelaan di antara kamu ..."
                                                                                           (Surah An-Nisaa ':29)



Al-Wilayah
Mengikut Syarak al-wilayah adalah bermaksud kuasa atau mandat yang telah diberikan oleh syarak kepada seseorang bagi menguruskan diri dan harta secara sah. Kelayakan dan kuasa adalah merupakan syarat utama yang patut ada pada seseorang itu apabila hendak melakukan akad.

Kuasa ataupun mandat ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu :
1- Kuasa Terhad (Al-wilayah al-qasirah) yang merupakan kuasa terhad dalam menguruskan diri dan harta sendiri sahaja. Kuasa ini diperolehi apabila seseorang itu baligh, berakal dan cerdik.
2- Kuasa tidak terhad (Al-wilayah al-muta’addiyah) yang merupakan kuasa untuk mengurus diri dan harta orang lain atas sebab-sebab yang tertentu. Kuasa yang tidak terhad ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu :

-    Kuasa yang diberi oleh syarak dari asal lagi (Al-wilayah al-asliyyah) kerana wujudnya pertalian darah di antara dua belah pihak seperti kuasa ayah ketas anaknya.
-    Kuasa yang diperolehi melalui proses perwakilan (Al-wilayah al-niyabiyyah) yang merujuk kepada kuasa mengurus bagi pihak yang lain dan kuasa ini diperolehi sama ada melalui wasiat ,mahkamah atau individu yang melantik sebagai wakil yang merangkumi kuasa mengurus diri sendiri dan harta orang lain.

Al-Wakalah dan Al-Fadalah
Al-wakalah adalah merupakan pemberian kuasa kepada orang lain untuk menguruskan hal-hal yang berada di bawah kuasanya. Sebagai contoh jika Ahmad melantik Ali untuk menjual tanahnya dengan harga tertentu. Oleh kerana perlantikan tersebut maka Ali mempunyai kuasa dalam menguruskan harta Ahmad.
Pemberian kuasa dalam menguruskan harta tersebut hendaklah memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat al-wakalah yang merangkumi syarat pemberi kuasa wakil, syarat wakil dan syarat perkara yang diwakilkan. Al-wakalah terbahagi kepada empat iaitu al-wakalah al-khassah, al-wakalah al-‘ammah, al-wakalah al-muqayyadah dan al-waklah al-mutlaqah.

Al-fadalah pula membawa maksud satu tindakan yang dilakukan oelh seseorang terhadap harta orang lain tanpa mendapatkan kuasa atau izin terlebih dahulu daripada pemiliknya. Hanafi dan Maliki berpendapat sebarang akad yang telah dilakukan tanpa mendapat izin pemilik harta adalah bergantung kepada keputusan sama ada bersetuju atau sebaliknya. Jika pemilik bersetuju maka akad itu sah, jika pemilik tidak bersetuju maka akad tersebut terbatal.
Pada pendapat Syafie dan Hambali jika keadaan itu berlaku maka akad tersebut adalah dikira batal walaupun pemilik harta bersetuju dan member izin selepas akad dilakukan.

1 comment:

  1. Salam, boleh saya tahu rujukan yang saudara gunakan dalam blog post ini?

    ReplyDelete