Pesanan Panaja

Saturday, April 12, 2014

Melayu Singapura



Kejayaan Masyarakat Melayu Singapura

Melayu Singapura kini menjadi contoh terbaik bahawa walaupun ia golongan minoriti di tengah bandaraya yang demikian moden dengan nilai mata wangnya yang demikian tinggi, tetapi ia kini mampu bersaing dengan kaum lain, khususnya kaum Cina, di negara itu.

Malah lebih dari itu, sejumlah besar daripada orang Melayu berjaya dalam pelbagai bidang perniagaan – besar dan kecil, di samping menjadi golongan profesional yang berjaya, malah menyandang jawatan tinggi di pelbagai sektor swasta.




Mereka mampu membina kehidupan yang lebih baik, malah ada yang menjadi kaya di tengah masyarakat yang moden seperti bandaraya Singapura.

Rahsia kejayaan Melayu Singapura ini ialah kerana mereka berdepan dengan situasi Singapura di mana mereka perlu bekerja keras untuk 'survival' tanpa mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak.

Maka itu, mereka membulatkan tekad dan berusaha keras dalam bidang masing-masing.

Anak-anak Melayu Singapura pula kini sudah ramai menduduki universiti tempatan dan luar negeri seperti di Eropah, Amerika, Jepun, Australia dan lain-lain dalam pelbagai jurusan.

Pelajar ini dibiayai oleh ibu bapa mereka sendiri, tanpa bantuan pihak lain.

Dalam hubungan ini, beberapa peniaga Melayu Singapura menyampaikan ucapan di Persidangan Melayu/Islam Dewan Perniagaan Melayu Singapura kelmarin.

Majlis ini dianjurkan oleh Dewan tersebut yang dihadiri oleh Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong sebagai tetamu kehormat.

Persidangan kali ketiga ini bertemakan, "Seni Usaha Sama Dalam Perniagaan: Memupuk Hubungan di Asia". Lebih 500 peniaga hadir.

Persidangan tersebut menemukan ramai peniaga Melayu dan bukan Melayu Singapura yang bukan sahaja berjaya membuka perniagaan di negara itu, bahkan sesetengahnya sudah membuka cawangan di luar Singapura.

Inilah gambaran yang sangat berbeza masa kini tentang kedudukan orang Melayu Singapura, khususnya di bidang perniagaan dan perusahaan.

Ketika saya berada di bandaraya itu selama lima hari, menziarahi sanak-saudara dan sahabat handai, saya menyaksikan perubahan yang sangat ketara ini.

Orang Melayu bukan sahaja rancak membuka restoran siang dan malam di merata tempat – walaupun sewanya mahal – tetapi juga membuka kedai yang menjual pelbagai jenis barang di merata pusat membeli belah.

Mereka juga membuka agensi hartanah, mengadakan pelbagai pusat latihan, membuka agensi pelancongan – termasuk pakej umrah dan haji.

Ahli parlimen Melayu seperti Zainal Safari, Intan Azura Mokhtar (GRC Ang Mo Kio), Zaqy Mohamed (GRC Chua Chu Kang) dan Muhd Faisal Manaf (GRC Aljunied) dan lain-lain memberikan perhatian berat kepada kepentingan orang Melayu Singapura.

Perlu disebutkan di sini bahawa Speaker Parlimen Singapura ialah seorang wanita Melayu, Dr Halimah Yaacob, sementara Dr Maliki Osman memegang jawatan Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Pertahanan), sementara menteri yang bertanggungjawab bagi Melayu/Islam ialah Dr Yaacob Ibrahim.

Di samping itu, anak Melayu juga sudah memegang pelbagai jawatan tinggi dalam kerajaan.

Ini adalah perubahan yang sangat jelas di kalangan orang Melayu, lebih-lebih lagi di kalangan generasi baru Melayu Singapura di mana semuanya adalah hasil pendidikan tinggi yang diperolehi oleh generasi Melayu baru Singapura.

Saya bertemu dengan beberapa kalangan generasi Melayu lama dalam lawatan saya ke Singapura itu.

Memang mereka mengakui bahawa Singapura sudah mengalami perubahan yang sangat pesat.

“Zaman ini bukan zaman kami lagi,” kata Haji Saleh, salah seorang yang saya temui di Geylang, dan menambah, “Zaman kami dulu zaman susah."

Orang Melayu di Kampung Wak Tanjung, Gelang, Lorong Engku Aman, Jalan Eunus dan kampung Melayu yang lain “mendiami rumah rendah, separuh batu, separuh kayu.”

Seorang lagi pesara, Encik Mana, berkata: “Ada juga yang mendiami rumah kayu sepenuhnya seperti di Siglap, Teluk Kurau dan lain-lain.

"Bagaimanapun, kami bersyukur anak-anak kami ada yang sudah lulus universiti, ada yang bergaji besar, ada yang bekerja sendiri dan mampu menyara ibu bapa seperti kami.”

Saya bersolat Jumaat di Masjid Al-Mawaddah, Sengkang, di tengah kawasan perniagaan yang sibuk di bandaraya Singapura.

Ia sebuah masjid paling moden daripada segi seni binanya dan baru ditegakkan pada 2009.

Seperti masjid lain di Singapura, solat Jumaat di situ padat dengan para jamaah dan menariknya di sekitar masjid itu serta di tepi jalan, dipenuhi kereta yang kebanyakannya jenis yang mahal.

Pada saya, ini juga membayangkan taraf hidup orang Melayu/Islam di republik ini.

Majlis Agama Islam Singapura (Mais) bertindak menaungi semua masjid di Singapura dan didapati penyelengaraannya yang moden lengkap dengan semua peralatan moden.

Saya diberitahu, dana pembinaan dan pengurusan semua masjid di Singapura datang daripada umat Islam sendiri di mana saya diberitahu umat Islam Singapura berlumba-lumba memberikan sumbangan kepada masjid, khususnya di bulan Ramadhan di mana derma datang mencurah-curah.

Inilah perkembangan yang sangat menarik di kalangan umat Islam Singapura.

Walaupun di kalangan mereka (seperti juga rakyat Singapura yang lain) berdepan dengan masalah pekerja asing yang ‘membanjiri’ negara itu, namun orang Melayu Singapura masih kelihatan mampu mengawal diri dan tidak mencetuskan sebarang ketegangan atau masalah.

Di sinilah kelihatan jelas Melayu Singapura kini berupaya menghadapi sebarang persaingan. Ia muncul sebagai Melayu yang berkualiti, yang berusaha untuk maju.

Erti dan konsep ‘survival’ benar-benar dimanfaatkan oleh mereka, maknanya tanpa pergantungan atau tanpa mendapatkan ‘tongkat’ daripada mana-mana pihak pun mereka boleh maju dalam hidup.

Kemampuan mereka berdikari inilah yang menjadikan mereka ‘Melayu yang berkualiti’. – 8 April, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.


tranungkite

No comments:

Post a Comment