Pesanan Panaja

Sunday, May 10, 2015

Ibu, pejuang sepanjang zaman


Hari Ibu memerkarakan kebutuhan ibu-ibu yang berada dalam berbagai golongan - ibu tunggal, OKU, warga emas, ibu muda, ibu bekerja dan yang bekerja dalam sektor informal, industri dan ladang serta ibu-ibu berpendidikan tinggi dan profesional. Di Malaysia hampir 3.5 juta ibu adalah suri rumah yang merupakan ibu-ibu para pembimbing generasi masa depan di Malaysia.




Sumbangan para ibu masih tidak diiktiraf oleh sistem ekonomi Malaysia yang berasaskan kuantum ringgit Malaysia. Sistem ekonomi Malaysia akan lumpuh tanpa adanya ekonomi tidak formal para ibu yang tidak diberi ganjaran khusus untuk mengurus rumahtangga dan membangun para pewaris yang akan mengendalikan dunia ini setelah ketiadaan semua yang hidup pada hari ini.
Mengimbas kembali sambutan Hari Ibu, ia bermula sebagai protes anti-peperangan. Ia menjadi sebuah pergerakan, selepas perang saudara di Amerika Syarikat di kurun ke-20, menuntut agar peperangan tidak lagi menjadi solusi terhadap sebarang konflik antara golongan-golongan yang berselisihan pendapat.

"The sword of murder is not the balance of justice."

Dalam kurun ke-21 ini, peperangan tetap berlaku dan telah menjadikan ramai ibu kehilangan suami-suami mereka dan anak-anak mereka menjadi anak-anak yatim, diselubungi kemisikinan dan segala kedaifan yang menjadikan segala kemajuan dan kemewahan di dunia ini suatu hipokrasi kemanusiaan yang nyata - di mana manusia membunuh manusia tanpa sekatan hanya untuk mendominasi golongan manusia yang lain.

Para penguasa dan mereka yang berkuasa, lelaki dan perempuan, sepantasnya merujuk kepada ibu-ibu mereka sebelum membuat kata putus atau ketepatan yang boleh membawa padah terhadap rakyat jelata dan hubungan antara golongan-golongan yang terlibat. Kerana para ibu kebiasaannya sentiasa inginkan yang terbaik dalam setiap aspek, khususnya keselamatan kesemua yang di bawah jagaannya.

Begitu pentingnya fungsi ibu dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Mereka menjadi obor, pelaksana dan pemelihara dasar-dasar yang berhasrat mensejahterakan masyarakat dan negara. Mereka merupakan suatu aset yang berperanan meneruskan sistem nilai yang menegakkan kebenaran dan keadilan dan merealisasikan kemajuan kemanusiaan yang hakiki.

Wajarlah setiap kerajaan memelihara kepentingan para ibu dari sudut kesihatan fizikal, mental, emosi dan spiritualnya, status ekonomi dan keselamatannya serta menjamin kemampuannya untuk berperanan terbaik sebagai ibu-pemimpin anggota keluarga, komuniti dan masyarakat.

Golongan para ibu tidak kira usia dan latarbelakang perlu dilibatkan dalam arus kemajuan negara dengan agenda khusus mengangkat tahap ilmu, pemikiran dan kemahiran mereka ke arah memenuhi amanah mereka dengan bijaksana dan gilang-gemilang.

Sekali-kali jangan mengambil mudah Ibu (taking mothers for granted).


Selamat menyambut Hari Ibu 2015,

Ibuku
Ibumu
Ibu tanpa suami yang dikasihi di sisi
Ibu yang diselubungi kegawatan peperangan saban hari
Ibu yang memelihara anak-anak OKU
Ibu yang beramanah memelihara semua yang di bawah jagaannya dalam hubungan kekeluargaan, pekerjaan dan profesional.

Semoga dilindungi, dirahmati Allah swt dan dianugerahi hidayahNya.



.................
Adeeba Adni, seorang aktivis sosial yang berusaha untuk memasyarakatkan kebajikan dan politik


No comments:

Post a Comment