Pesanan Panaja

Monday, July 6, 2015

Nuzul al-Quran, puasa Ramadan eratkan hubungan kaum


SAYA tidak akan pernah jemu menceritakan dua peristiwa berkaitan Ramadan saat berkuliah. Ini kisah kenalan Kristian dan wanita tua Hindu apabila berbicara tentang kedudukan puasa Ramadan. Kenalan Kristian asal Sabah itu bercerita darihal amalan puasa yang dilaluinya menurut Bible. Khabarnya, agak ketat.

“Sepanjang berpuasa 40 hari itu, kalau lapar dan dahaga, boleh minum air kosong dan bertih saja,” katanya. Beliau berbangsa Dusun. Aliran mazhab Kristian mana, saya kurang pasti.




Fikir saya, amalan puasa itu masih ringan. Ini kerana, mereka masih boleh makan dan minum ketika siang sepanjang tempoh berpuasa.
Isi fikiran itu saya luahkan di depannya. Tiba-tiba dia marah, “Eh! Puasa awak lagi bagus! Awak boleh tahan ke kalau sepanjang bulan tu, makan bertih jagung dan minum air kosong saja?”

Saya diam sekejap. Fikirannya itu masuk akal. Saya sebut puasa Islam ini sulit sebab muslim tidak dibenarkan makan, minum sepanjang siang. Walhal, mereka boleh makan dan minum siang saat lapar dan dahaga.

“Lebih baik cara puasa awak, siang berlapar dan dahaga sekejap. Kemudian, bila malam nanti, awak boleh makan dan minum apa sahaja. Kami teguk air kosong dan bertih jagung saja sepanjang berpuasa,” begitu syarahnya lagi panjang lebar. Saya mengucap istighfar. Rupanya orang luar dapat nilai kebagusan puasa muslim dengan lebih tepat dibanding muslim sendiri.

Peristiwa kedua, melibatkan bualan bersama seorang wanita India pencuci kuliah kami. Dengan tidak semena-mena, ketika sedang bergegas keluar hendak berbuka di masjid, beliau menyapa kami.

Kami sebut hajat kami bergegas keluar kuliah itu kerana terburu-buru mengejar tempat berbuka puasa di masjid universiti.

“Bagus adik, tidak susahlah puasa kamu,” kata makcik India itu. “Puasa kami berat sedikit. Periuk belanga untuk masak ketika berpuasa, mesti diasingkan dengan periuk belanga yang lain...”

RAMADAN, BULAN PENURUNAN SEMUA KITAB

Mendengar penjelasan ringkas wanita India yang berusia lebih satu abad ini, kenangan terhimbau kepada adegan filem Dilwale Dulhania Le Jayenge. Ada babak di mana Simran Singh (lakonan Kajol) mengeluh mengenai lambatnya waktu berbuka puasa kerana jarak waktu berbuka puasa itu berlanjutan ke malam. Maknanya, tempoh berpuasa penganut agama lain lebih panjang.

Mungkin ada banyak lagi ciri-ciri perbezaan amalan berpuasa antara Islam dan agama lain. Apa pun, hakikat ini mengajar kita mengenai sesuatu. Iaitu puasa yang diwajibkan pada bulan ini menunjukkan bahawa hubungan kita dengan penganut agama lain selalu ada dan kita akan selalu diikat rasa muhibbah bersama mereka. Hal ini termaktub di dalam al-Quran sendiri.

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti orangorang dahulu diwajibkan berpuasa...” ~ (2: 183)

Ayat ini memberi bukti bahawa penganut agama lain juga berpuasa. Sebilangan besar mereka mungkin berpuasa pada Ramadan sebab kitab-kitab mereka turun pada bulan ini juga. Hal turunnya al-Quran pada Ramadan ini telah dijelaskan secara tuntas dalam Surah al- Baqarah, ayat 185, “Bulan Ramadan yang di dalamnya diturunkan al-Quran...”

Kalau ditinjau hadis lain, maka dapat dirumuskan bahawa ~ jika kitab-kitab lain turun ketika Ramadan, maka penganut agama lain mungkin berpuasa pada bulan yang sama. Misalnya, hadis di bawah ini...

“Suhuf Ibrahim diturunkan pada malam pertama Ramadan, Taurat diturunkan pada enam Ramadan, Injil diturunkan pada 13 Ramadan, dan Allah menurunkan Al-Quran pada 24 Ramadan.”

Maka tidak mustahil peristiwa Nuzul Quran dan puasa Ramadan ini boleh eratkan muhibbah sesama kita dengan saling wujud semangat bertukar fikiran, berkongsi rasa mengenai agama masing-masing. Semua penganut agama memiliki dasar kepercayaan yang lebih kurang sama. Maklumat mengenai Ramadan sebagai bulan penurunan al-Quran, Taurat, Injil, dan Suhuf Ibrahim, mungkin semakin mengeratkan hubungan penganut agama.

Hari ini, bukan tiada penganut agama lain berbuka puasa bersama kita. Mereka juga ke bazaar Ramadan. Namun jarang sekali kita ambil peluang bercerita kepada mereka bahawa Ramadan ini bukan sekadar Nuzul al-Quran, malahan Ramadan itulah juga Nuzul Taurat, Nuzul Injil, dan Nuzul Suhuf Ibrahim. Ya, mungkin juga mereka pernah berpuasa dahulu kerana meraikan turunnya kitabkitab mereka.

Atas semangat muhibbah ini, maka lazimkanlah bertukar-tukar fikiran mengenai dasar-dasar kepercayaan agama ketika berbuka puasa sesama para penganut lain. Hanya dengan kesatuan dan perpaduan, maka revolusi dan penggulingan ke atas Umno Apco itu akan dapat kita terjemahkan bersama-sama di Putrajaya!


No comments:

Post a Comment