Thursday, May 30, 2013

Soalan Kepada Nabi Yusof



Di dalam al-Qur’an terdapat banyak kisah-kisah para Nabi dan Rasul yang dikongsikan oleh Allah Subhanahu waTa'ala. Pada peluang ini, saya ingin berkongsi satu bab dari kisah Nabi Yusuf ‘alaihi salam yang panjang, sebagaimana yang terkandung di dalam al-Qur’an al-Karim.

Sebelum itu ingin saya mengajak para pembaca sekalian untuk mengulang-kaji manhaj yang benar berkenaan kisah-kisah para Nabi dan Rasul, iaitu kita hanya beriman kepada apa yang diceritakan oleh al-Qur’an dan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melalui hadis-hadis baginda yang diketahui sumber dan darjatnya. Kita tidak menokok tambah mahu pun menguranginya kerana melakukan sedemikian bererti berdusta di atas nama Nabi-nabi tersebut. Kita juga tidak bertanya apa yang tidak diceritakan oleh Allah dan Rasul-Nya, kerana apa yang tidak diceritakan bererti tiada manfaat untuk diketahui.



Apa yang telah diceritakan oleh Allah dan Rasul-Nya merupakan sebaik-baik fakta yang memiliki manfaat dan pengajaran di dalamnya. Oleh itu hendaklah kita merasa cukup dengan cerita yang bersumber daripada wahyu dan tidak bertanya atau mencari-cari apa yang tidak diceritakan oleh Allah dan Rasul-Nya. Hakikat ini diterangkan oleh Allah di awal surah Yusuf: Kami ceritakan kepadamu sebaik-baik kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini… [Yusuf 12:03]

Selanjutnya Allah berfirman di akhir surah Yusuf: Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. [Yusuf 12:111]



Mimpi Dua Orang Pemuda

Ketika Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara, bersama dengan beliau masuk pula dua orang pemuda yang lain. Seterusnya kedua-dua pemuda itu bertanya kepada Nabi Yusuf berkenaan mimpi yang mereka alami:

Dan bersama dengan dia masuk pula ke dalam penjara dua orang pemuda. Berkatalah salah seorang di antara keduanya: “Sesungguhnya aku bermimpi, bahwa aku memerah anggur.” Dan yang lainnya berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi, bahwa aku membawa roti di atas kepalaku, sebagiannya dimakan burung.” Berikanlah kepada kami ta'birnya (tafsirannya); sesungguhnya kami memandang kamu termasuk orang-orang yang pandai (mena'birkan mimpi). [Yusuf 12:36]

Mendengar dua soalan tersebut, Nabi Yusuf memulakan jawapan beliau dengan cara memberikan keyakinan kepada dua orang pemuda tersebut berkenaan anugerah istimewa yang Allah kurniakan kepadanya.

Yusuf berkata: “Tidak disampaikan kepada kamu berdua makanan yang akan diberikan kepadamu melainkan aku telah dapat menerangkan jenis makanan itu, sebelum makanan itu sampai kepadamu. Yang demikian itu adalah sebagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Sesungguhnya aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah, sedang mereka ingkar kepada hari kemudian.” [Yusuf 12:37]

Apa yang lebih menarik, Nabi Yusuf tetap tidak menjawab soalan berkenaan ta’bir mimpi, sebaliknya melanjutkan:

Dan aku mengikut agama bapa-bapaku yaitu Ibrahim, Ishaq dan Ya'qub. Tiadalah patut bagi kami (para Nabi) mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Allah. Yang demikian itu adalah dari karunia Allah kepada kami dan kepada manusia (seluruhnya); tetapi kebanyakan manusia itu tidak mensyukurinya.

Hai kedua penghuni penjara, manakah yang baik, tuhan-tuhan yang bermacam-macam itu ataukah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa?

Kamu tidak menyembah selain Allah kecuali hanya nama-nama yang kamu dan nenek moyangmu membuat-buatnya. Allah tidak menurunkan suatu keteranganpun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. [Yusuf 12:38-40]

Setelah menjelaskan semua di atas, barulah Nabi Yusuf menjelaskan ta’bir mimpi kedua-dua pemuda tersebut, sebagaimana dalam ayat 41 dan seterusnya dalam suruh Yusuf.

Jika dibaca sekali imbas, kemungkinan besar kita tidak akan terkesan apa-apa melalui jawapan di atas. Bahkan mungkin ada di antara kita yang hanya membacanya dengan laju kerana lebih berminat untuk mengetahui apakah ta’bir atau tafsiran mimpi kedua-dua pemuda tersebut.

Sebenarnya jika dihalusi secara mendalam, akan ditemui satu manhaj yang amat penting di dalam Islam. Manhaj tersebut adalah, tauhid dan aqidah merupakan perkara yang asas lagi penting sehingga ia mesti diberi prioriti dalam semua suasana. Perhatikan bahawa apabila ditanya berkenaan ta’bir mimpi Nabi Yusuf tidak terus menjawabnya, sebaliknya beliau membuka jawapan dengan menerangkan berkenaan Allah, mentauhidkan Allah sebagai satu-satu tuhan dan menyandarkan pelbagai kelebihan yang dimilikinya kepada Allah (aqidah).

Inilah juga manhaj semua para Nabi dan Rasul, termasuklah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Tauhid dan aqidah sentiasa di dahulukan di atas persoalan lain baik ta’bir mimpi, hukum fiqh mahu pun kehidupan harian.


Sentiasa Mendahulukan Tauhid dan Aqidah.

Mengambil iktibar dari susunan jawapan Nabi Yusuf di atas, hendaklah kita juga sentiasa mendahulukan tauhid dan aqidah apabila berbicara berkenaan Islam. Apabila ada rakan belum Islam yang bertanya berkenaan hukum khatan (sunat) atau memakai tudung, mulakan dengan penjelasan tauhid dan aqidah, kemudian barulah menjawab soalan mereka. Jika ada rakan Muslim yang bertanya berkenaan solat-solat sunat, mulakan dengan penjelasan tauhid dan aqidah, kemudian barulah menjawab soalan mereka. Jika diri kita sendiri ingin mendalami Islam dan memperbaiki diri (islah) kita sebagai seorang muslim, mulakan dalam subjek tauhid dan aqidah


http://al-fikrah.net

No comments:

Post a Comment