Pesanan Panaja

Tuesday, April 17, 2012

Hikmah Pensyariatan Nikah


Nikah mempunyai banyak hikmah. Manfaatnya menyeluruh dalam Islam meliputi ummah, masyarakat dan individu. Syariat nikah bukan sahaja memenuhi kehendak seksual manusia semata-mata, tetapi mempunyai tujuan yang lebih penting berkait rapat dengan agama, psikologi dan sosial. Hikmah dan kelebihan ini banyak disebut dalam al-Qu’ran dan hadis Rasulullah s.a.w..

Berikut adalah huraian hikmah pensyariatan hikmah:

(a) Memenuhi Naluri dan Fitrah Penciptaan Manusia

Islam adalah agama fitrah. Oleh itu, nikah disyariatkan untuk merealisasikan fitrah dalam jiwa manusia. Ini kerana setiap manusia, sama ada lelaki atau perempuan dicipta dengan mempunyai naluri seksual dan fitrah tertentu. Oleh itu, Islam menjadikan perkahwinan sebagai jalan terbaik menyalurkan tuntutan nafsu tersebut. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidhi yang bermaksud:

" Sesungguhnya perempuan itu menghadap dan membelakangi dengan rupa syaitan, jika seseorang antara kamu tertarik kepada seorang perempuan, hendaklah dia mendatangi isterinya. Dengan itu nafsunya dapat disalurkan ."

Pemuda Islam yang sudah cukup syarat disyorkan agar terus berkahwin kerana pada kebiasaannya ketika usia muda, ujian dan godaan syaitan adalah lebih banyak. Inilah syor daripada Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Wahai para pemuda! Sesiapa yang mampu hendaklah dia nikah, kerana (nikah) akan menutup pandangan dan menjaga kehormatan."

Malah, Rasulullah s.a.w sendiri tidak menggalakkan umatnya membujang dan hidup bersendirian. Abu Samrah r.a berkata dan diriwayatkan oleh al-Tarmidhi bahawa:

"Nabi Muhammad s.a.w melarang umatnya hidup membujang."

(b) Memupuk Kasih Sayang dan Memberi Ketenteraman Jiwa

Nikah dapat menyegarkan hati dan jiwa. Nikah dipupuk melalui kasih sayang antara lelaki dan perempuan melalui jalan yang betul, iaitu nikah. Kasih sayang dan bergurau-senda antara suami isteri dapat menghiburkan hati serta menghilangkan kesedihan. Rumah tangga pula dapat diatur dengan tertib melalui peranan masing-masing. Ini secara langsung memberi kemesraan dan ketenangan hati dalam kehidupan suami isteri. Firman Allah
Maksudnya:

" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Allah menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. "

(Surah al-Rum, 30 : 21)

(a) Memelihara Keturunan yang Sah dan Zuriat yang Soleh

Islam memelihara kewujudan manusia melalui keturunan yang sah. Melalui nikah, kita akan mendapat zuriat hasil ikatan dan hubungan ibu bapa yang bersih daripada anak luar nikah. Ini merupakan permulaan yang baik bagi melahirkan ramai anak yang soleh serta remaja yang berbakti kepada ummah. Anak yang soleh dijamin oleh Rasulullah s.a.w dapat memberikan rahmat dan pahala amalan yang tidak terputus melalui doa kepada kedua ibu bapanya yang telahpun meninggal dunia. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

" Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, amalannya akan terputus melalinkan melalui tiga perkara : Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya ."

Malah, kita diseru untuk sentiasa berdoa supaya dianugerahkan suami isteri dan anak-anak yang baik serta menenangkan hati. Firman Allah S.W.T:
" Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."

(Surah al-Furqan, 25 : 74)

(a) Menjauhkan Diri daripada Maksiat dan Perkara-perkara Haram

Nikah boleh melawan hawa nafsu dan juga boleh menjadi perisai daripada 'panahan' kemungkaran. Kita boleh mengelakkan diri daripada melakukan maksiat dan perzinaan melalui nikah. Malah, inilah suatu sistem sosial yang istimewa dalam Islam yang menghalalkan nikah tetapi mengharamkan zina seperti firman-Nya:
Maksudnya:

"Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina."

(Surah an-Nisa', 4 : 24)

Keperluan seksual perlu disalurkan melalui jalan yang betul dan bukannya dengan cara yang haram. Nikah itu berperanan menjaga maruah dan kehormatan insan di samping boleh mengelak fitnah yang timbul daripada pergaulan yang bebas tanpa ikatan syarak. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Thirmidhi yang bermaksud:

" Apabila orang yang agama dan akhlaknya kamu redai datang (untuk meminang), hendaklah kamu mengahwinkannya, sekiranya kamu tidak berbuat demikian, akan timbul fitnah dan kerosakkan di atas muka bumi. "

(a) Meramaikan Umat sebagai Khalifah Allah S.W.T

Manusia ditugaskan sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi. Melalui pernikahan, proses memakmurkan bumi lebih mudah dilakukan dengan umat Islam yang ramai. Malah, Rasulullah s.a.w amat berbangga mempunyai umat yang ramai. Ini jelas dalam riwayat Abu Dawud, al-Nasa'i dan Ahmad bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

"Kahwinilah perempuan pengasih yang mampu melahirkan ramai anak. Sesungguhnya aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari kiamat."

(b) Mengikut Sunnah Para Rasul

Nikah merupakan sunnah para nabi dan rasul. Maka dengan bernikah, kita sudah memenuhi dan mendapat pahala sunnah. Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi:

"Empat perkara yang merupakan sunnah rasul-rasul, iaitu malu, memakai wangian, bersugi dan berkahwin."

Melalui nikah, kita dapat menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami, bapa, bapa mertua dan datuk seperti yang dilakukan dalam sirah. Tanggungjawab mendidik anak-anak dan mengatur rumah tangga juga dapat diaplikasikan dalam hidup kita dengan menjadikan keluarga Rasulullah s.a.w sebagai contoh teladan. Selain itu, hubungan kekeluargaan juga dapat diperkukuh demi melahirkan sebuah masyarakat dan seterusnya negara Islam seperti yang pernah dilakukan oleh baginda s.a.w. Maklumat berkaitan hikmah nikah boleh diperoleh dengan mudah di Internet.


No comments:

Post a Comment