Soalan: Assalamualaikum Ustaz. Apakah salah dan dianggap syirik jika seseorang itu telah berusaha banyak kali dengan cara Islam untuk berubat membuang sihir tetapi tidak sembuh.
Dia ambil keputusan untuk melalui cara Siam untuk membuang sihir tersebut dan mendapatkan bantuan seorang yang bukan Islam yang berubat dengan cara Siam setelah dia mengetahui sihir ke atasnya adalah menggunakan cara Siam TETAPI yakin dan percaya sepenuh hati perawatan yang beliau akan lalui dan alami adalah Allah yang akan membantu dan mengizinkan.
Jawapan: Keyakinan kepada Allah mesti diterjemahkan melalui keyakinan hati, lidah dan juga anggota (yakni amalan, perbuatan dan tindakan). Yakinlah kepada Allah dan berikhtiarlah tanpa mendatangkan kemurkaan Allah dengan bertandang ke tempat yang tidak diredhaiNya.
Rasulullah pernah ditanya tentang hukum berubat dengan arak. Lalu baginda menjawab; “Arak bukan ubat, tetapi penyakit” (HR Imam Muslim dari Wail al-Hadrami). Perhatikan, walaupun di sisi manusia arak mungkin boleh menjadi ubat menyembuhkan setengah penyakit, namun kerana ia di sisi Allah adalah haram, maka Rasulullah bertegas mengatakan; Ia bukan ibat tetapi penyakit.
Jika benar kita yakin kepada Allah, kita perlu yakin juga bahawa Allah tidak akan menjadikan penyembuhan ada pada perkara yang Ia murkai apatahlagi yang mensyirikkanNya. Berikhtiyarlah dengan cara yang halal, jangan berputus asa, Insya Allah kesembuhan akan diberi Allah; kesembuhan badan dan pada masa yang sama aqidah juga selamat. Tiada guna tubuh sihat tetapi aqidah kita sakit.
Wallahu a'lam.
*Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
detikislam.blogspot.com
tranungkite
No comments:
Post a Comment