Pesanan Panaja

Wednesday, January 8, 2014

Jangan rosakkan nama baik Islam



PAS menyatakan pendirian jelas mengenai isu nama Allah – ia menyatakan kebimbangan yang sangat serius akan cubaan pelbagai pihak yang mahu menimbulkan provokasi dilihat boleh menimbulkan ketegangan antara agama di negara ini.

Malah, ia memandang isu ini diperhangat hingga rakyat lupa masalah keperitan hidup akibat kenaikan harga barang.







Ia percaya usaha mengalihkan perhatian ini berkemungkinan akan berterusan untuk menghapuskan keluh kesah rakyat mengenai kehidupan mereka yang semakin terhimpit.
Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang, isu penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Muslim seharusnya diselesaikan melalui perbincangan.

"PAS memandang dengan serius suara-suara provokasi yang ditimbulkan oleh pihak tertentu dalam isu penggunaan kalimah Allah, terutama terhadap cadangan beberapa pihak untuk berdemonstrasi di hadapan gereja tertentu di Selangor pada Ahad," katanya.

Pendirian ini sangat rasional, menepati kehendak Islam dan menggambarkan keluasan pandangan tokoh pimpinan PAS.

Ia pandangan yang berasaskan ilmu, kefahaman yang mendalam terhadap Islam, tidak didorong oleh pelbagai kepentingan politik dan duniawi.

Bedasarkan petunjuk di dalam Al-Quran, Sunnah, Hadis dan sirah Nabi Muhammad, kita melihat Islam itu begitu indah, penuh dengan toleransi dan sangat harmonis dalam berinteraksi dengan agama lain.

Ketika Sayidina Umar Al-Khattab tiba di Palestin, beliau mendatangi gereja Nasrani di sana, dan dengan penuh hormat meminta izin dengan paderi gereja itu untuk memasuki gereja tersebut.

Walaupun ketika itu beliau adalah Amirul Mukminin, atau presiden negara Islam Madinah yang dapat membuka kembali Baitulmaqdis di mana secara logik akal biasa, beliau boleh memasuki gereja itu sebagai pemimpin pemerintah.

Tetapi beliau tidak melakukannya.

Ini adalah sifat pemimpin sejati Islam yang membawa risalah Islam sebagai agama Rahmatan Lil-Alamin.

Kerana itu pemimpin gereja di Baitulmaqdis itu sendiri datang menyambut kedatangan Amirul-Mukminin.

Tidak ada pencerobohan terhadap gereja itu, tidak ada konfrontasi, tidak ada kekerasan.

Majlis pertemuan antara gereja dengan Sayyidina Umar sangat harmonis sekali.

Malah, ketika tiba waktu Asar, menurut riwayat, Umar meminta izin untuk bersolat, lalu paderi gereja itu mempelawanya untuk solat di gereja itu saja.

Umar menolak dengan hormat, bahkan mahu bersolat di luar gereja, kerana bimbang jika bersolat di dalam gereja, perbuatannya itu dikhuatiri akan diikuti oleh umat Islam lain kemudian hari.

Kisah ini sangat masyhur, dituturkan oleh ulama dan pemimpin Islam zaman berzaman, boleh dibaca dalam kitab sirah Nabi Muhammad dan sahabat.

Sangat jelas mesejnya, yang menjadi panduan kepada umat Islam hingga akhir zaman.

Sayyidina Umar, pemimpin Islam yang sangat tegas, kekuatan imannya tidak boleh dicabar oleh sesiapa.

Namun tokoh ini memberikan gambaran dan imej Islam yang sangat murni dan harum, hingga ramai penganut bukan Islam menganut agama Islam.

Ada banyak lagi contoh dalam Islam mengenai toleransi beragama dalam yang ditunjukkan dalam sirah Nabi Muhammad, bahkan di dalam Al-Quran sendiri.

Malangnya, apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini, umpamanya serbuan ke atas gereja, demonstrasi mengenainya dan aksi-aksi lain, sangat bertentangan dengan petunjuk Al-Quran dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad, oleh Umar dan sahabat yang lain.

Ada contoh tolerasi yang ditunjukkan oleh tokoh pemimpin Islam terkemuka Indonesia, Muhd Natsir, atau Pak Natsir.

Dewan Dakwah, yang dipimpin olehnya, selepas menjadi mantan Perdana Menteri Indonesia, sering mengadakan dialog Islam-Kristian di markasnya di Jalan Keramat Raya, Jakarta.

Usahanya ini adalah untuk mengharmoniskan hubungan antara umat Islam dan penganut Kristian di negera itu dan mendapat sambutan yang sangat baik di kedua-dua pihak.

Pada suatu hari, selepas majlis dialog Islam-Kristian dan ketika akan bersurai, paderi Kristian yang menyertai majlis dialog itu mahu beredar pulang ke gerejanya.

Beliau kelihatan menunggu teksi yang lalu untuk menghantarnya, kerana beliau tiada kenderaan pada waktu itu.

Pak Natsir melihat paderi itu lalu bertanya:

“Saudara menunggu siapa?”

“Saya menunggu teksi untuk pulang ke gereja.”

Lalu Pak Natsir membawa keretanya dan mempelawa paderi itu untuk menghantarnya pulang.

Paderi itu menerima pelawaannya dan mengucapkan terima kasih, dan Pak Natsir menghantarnya hingga ke depan pintu gereja.

Alangkah manisnya peristiwa ini, menggambarkan sikap lunak dan toleransi pemimpin Islam.

Ada banyak lagi contoh keterbukaan pemimpin Islam terhadap kepelbagaian agama.

Malangnya apa yang berlaku di negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama sangat membimbangkan.

Bagi sesetengah pihak yang melakukan pelbagai tindakan untuk memperlihatkan kononnya merekalah yang memperjuangkan Islam dan mempertahankan akidah umat, malangnya, perlakuan mereka sebenarnya merosakkan keharuman Islam.

Adakah mereka ini mahu dilihat lebih hebat daripada Sayyidina Umar dalam mempertahankan ketakwaan mereka?

Atau adakah golongan ini mahu dilihat lebih bijaksana daripada Muhd Natsir dalam menghadapi golongan bukan Islam atau pelbagai contoh lain?

Entah dari mana mereka mengambil contoh ini, tidak diketahui, namun dikhuatiri ia didorong oleh kepentingan politik sempit dan melampau, yang sama sekali bertentangan dengan Islam.

Kini Maulidur Rasul menjelang tiba, maka seperti biasa ramailah yang berarak menyambutnya, muncullah pelbagai cogankata popular memuji Nabi Muhammad sebagai pemimpin umat, keluarlah ucapan pemimpin yang menyeru supaya umat Islam menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh dan pelbagai ucapan lagi.

Tetapi peristiwa yang berlaku, perlakuan yang ditunjukkan mereka, sama sekali bertentangan dengan apa yang diperlihatkan oleh Nabi Muhammad.

Oleh itu, slogan dan ucapan muluk-muluk hanya palsu. Mereka sebenarnya tidak mengambil contoh daripadad akhlak dan perjuangan Nabi Muhammad.

Inilah sebuah kepalsuan yang tiada taranya.

Oleh itu, umat Islam sewajarnya mengambil pendekatan bijaksana dalam isu seperti kalimah Allah dan lain-lain.

Umat Islam sangat dituntut supaya berfikir jauh, berilmu, bersikap rasional dan memahami situasi negara ini yang berbilang kaum dan agama.

Sikap bijaksana umat Islam dalam cara berfikir dan bertindak nescaya akan membolehkan Islam dilihat sebagai agama rahmat seluruh alam, penuh toleransi dan keharmonian.

Ingatlah kekuatan Islam berasaskan hujah, bukan dengan kekerasan, bukan dengan bantahan, bukan menceroboh rumah ibadat agama lain, bukan dengan mengeluarkan suara keras yang menghina dan menakutkan.

Maka itu, umat Islam diperlukan berilmu, bersikap rasional dan bijaksana


DetikDaily

No comments:

Post a Comment