Pesanan Panaja

Saturday, May 10, 2014

Fenomena ‘Ya Hanana’ di Malaysia



Oleh KHAIRUZZAMAN MOHD WAFA

“TELAH muncul agama yang didukung dengan munculnya Nabi yang bernama Ahmad, betapa beruntungnya kami dengan Muhammad s.a.w., itulah anugerah dari Allah. Betapa beruntungnya kami.”Itulah sebahagian daripada terjemahan qasidah yang sangat masyhur pada ketika ini iaitu qasidah ‘Ya Hanana’.

‘Ya Hanana’ kini menjadi satu fenomena baru kepada masyarakat kita di Malaysia sehingga di mana-mana sahaja kita berada, kita akan mendengar mengalunkan qasidah ini, tidak kiralah sama ada di peringkat kanak-kanak mahupun dewasa kerana seronok dengan alunannya yang santai dan menghiburkan.





Berbalik pada sejarah, sebenarnya qasidah atau alunan bait-bait syair Arab ini telah pun masyhur sejak zaman sebelum Islam, yang mana mengandungi puji-pujian dan kepada wanita, harta benda, ataupun individu yang dianggap berjasa kepada masyarakat tempatan.
Selepas kedatangan Islam, kandungan syair-syair ini telah berubah daripada sesuatu tidak memberi manfaat, kepada satu medium yang boleh mengajak manusia ke arah kebaikan dan ada antaranya mengandungi pujipujian kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat baginda.

Bermula daripada seni syair yang dibacakan dalam berbentuk puisi sehinggalah diangkat seninya dan telah dialunkan secara berlagu dan kemudiannya qasidah dilagukan dengan iringan muzik tradisional iaitu rebana, kompang dan tamborin.

Adapun begitu, pada asalnya qasidah ini telah pun masyhur di Malaysia sejak awal tahun 1970-an sepertimana masyhurnya marhaban dan berzanji pada waktu itu. Akan tetapi generasigenerasi yang terkemudian tidak terlalu berminat dengan seni ini kerana ia kelihatan hambar dan membosankan sehingga jarang sekali kita dapat melihat anak-anak muda yang mengetuai majlis-majlis sebegini sehinggalah datangnya tokohtokoh ulama yang mengangkat kembali seni ini.

Antaranya Habib Syech As-Segaf yang mempopularkan kembali qasidah dua tahun yang lalu kepada masyarakat kita dalam bentuk yang menarik dan menghiburkan. Perkara ini telah disambut baik oleh masyarakat kita dengan penganjuran majlis selawat dan qasidah di pelbagai tempat sekitar dalam negara.

Dan kini, kita dapat melihat fenomena baru yang tidak pernah kita duga sebelumnya iaitu semakin banyaknya kumpulan-kumpulan qasidah umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan, dibentuk sama ada bermula di pusat pengajian pondok, institusi pengajian tinggi ataupun anak-anak muda yang mempunyai inisiatif sendiri bagi memeriahkan majlis ilmu dengan alunan qasidah memuji Nabi.

Apa yang paling menarik dan paling ketara sekali pada ketika ini adalah majlis perkahwinan yang dahulunya dihiasi dengan nyanyian karaoke telah diubah dengan alunan-alunan qasidah sama ada dalam bentuk audio cakera padat ataupun nyanyian secara ‘live’. Ini adalah satu perkembangan yang baik.

Ada beberapa soalan yang timbul sejak akhir-akhir ini berkenaan dengan qasidah iaitu adakah kita memperolehi syafaat Nabi ketika mengalunkan qasidah? Kata ulama, sesungguhnya mengalunkan qasidah ini tidaklah mendapat syafaat Nabi, melainkan ada bait-bait yang menyebut kalimah selawat yang sahih seperti “Allahumma Salli ‘ala Muhammad” atau “Sallallahu ‘ala Muhammad.” Walaupun begitu, qasidah ini merupakan jalan-jalan atau cabang-cabang ilmu untuk kita mengenali siapa Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat.

Begitu juga dengan marhaban dan berzanji yang dikarang oleh Sayyid Ja’far Al-Barzanji yang mana kandungannya menceritakan tentang sirah Nabi dalam bentuk syair.

Oleh itu, ketika mana kita ingin mengalunkannya, adalah lebih diutamakan untuk melihat kepada terjemahannya sekali agar kita dapat menghayati setiap bait-bait yang dikarang, bukan sekadar tertumpu pada alunan dan melodinya semata-mata.

Perlu juga diingatkan bahawasanya qasidah ini bukanlah amalan yang paling utama untuk menzahirkan cinta kita kepada Nabi, akan tetapi bagaimana cara kita mengaplikasikan sunnah Nabi dalam kehidupan seharian kita.

Janganlah hanya sekadar ber-‘Ya Hanana’ tetapi langsung tidak mengamalkan sunnah Nabi bahkan sering bertelagah sesama sendiri terutamanya dalam halhal kecil sehingga mengabaikan hak-hak Muslim yang perlu ada dalam setiap diri masing-masing.

Kesimpulannya, perbanyakkan berselawat kepada Rasulullah s.a.w. sebagai tanda cinta kita sebagai seorang Muslim kepada Baginda s.a.w., kerana para ulama mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu, maka dia akan sering menyebutnya.” “Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w.); wahai orangorang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” - Surah Al Ahzab: 56

>> Penulis adalah siswa Falkuti Pengajian Bahasa Utama, USIM

sumber

No comments:

Post a Comment