Pesanan Panaja

Wednesday, May 6, 2015

Berapa Kerap Saya Perlu Membersihkan Telinga? – Dr. Ahmad Nordin


Ramai kenalan & sanak saudara saya sering bertanya- berapa kerap saya perlu mencuci telinga? Bagi para komuniti ENT, soalan itu agak berat untuk dijawab.

Sebagai permulaan, saya akan mulakan dengan senario yang biasa pada kebanyakkan antara kita:

Ramai antara kita biasa meletakkan putik kapas ke dalam telinga, meletakkannya sedalam yang mungkin sehinggalah timbul rasa sakit yang amat sangat. Seterusnya anda memutar putik tersebut di sepanjang salur telinga untuk mengumpul seberapa banyak kekotoran ke tahap maksima. Proses ini berakhir dengan membawa keluar putik kapas tersebut dengan rasa penuh nikmat! Semakin banyak serumen (lebih dikenali sebagai tahi telinga- imej 1) dikeluarkan- semakin bangga individu tersebut. Prosedur ini diulangi sehingga tiada tanda warna perang di putik kapas dan sehingga seseorang itu merasa ‘gian’ meletakkan benda asing di salur telinga.




Anda tidak perlu menafikan diri sendiri dari kebenaran yang memang ada keseronokkan mengorek telinga. Saya tahu, kerana saya pun biasa melakukannya, sehinggalah kebelakangan ini.

Berbalik kepada soalan saya, berapa kerap sepatutnya saya membersihkan telinga?

Jawapannya ialah TIDAK!

Ya, tiada pembetulan pada kenyataan di atas- JANGAN mengorek atau mencuci telinga anda sendiri!

Telinga sepatutnya tidak boleh dicuci atau dikorek oleh anda sendiri dengan apa cara sekalipun. Kita seharusnya bersyukur kepada Tuhan kerana diberi satu struktur badan yang boleh membersihkan dirinya sendiri. Ya, salur telinga kita mempunyai mekanisma mencuci bahagian telinga sendiri. Sebarang serumen atau kekotoran akan keluar sendiri dari bahagian dalam salur telinga ke bahagian luar. Memandangkan telinga kita membersihkan dirinya sendiri- anda boleh menumpukan perhatian anda membersihkan anggota badan anda yang lain, atau rumah anda jika perlu!

Serumen dijumpai di bahagian 1/3 luar salur telinga. Ia membantu bahagian dalam salur telinga menjadi kalis air. Jika anda membuang segala serumen yang ada- air dengan mudahnya akan mengalir ke bahagian dalam salur telinga dan akan menggalakkan kesakitan pada bahagian dalam telinga disebabkan oleh bakteria atau kulat. Bagi individu yang selalu berenang, anda pasti akan terasa perbezaan sekiranya anda tidak membuang serumen anda.

Serumen juga mempunyai fungsi antibakteria dan antifungal (basmi kulat). Ia adalah perlindungan semulajadi yang lebih mujarab dan selamat berbanding dengan ubat yang dijual secara komersial.Jadi, kenapa pula serumen itu perlu dibuang?

Satu fakta lagi, kulit di salur telinga lebih nipis dan sensitif terhadap geseran berbanding dengan kulit di bahagian badan yang lain. Semakin kerap putik kapas digunakan, semakin rosak kulit di bahagian salur telinga tersebut. Penggunaan batang logam kecil akan memburukkan lagi keadaan ini. Oleh itu, jangan masukkan sebarang objek ke dalam salur telinga anda.

Ada segelitir kecil kes di mana telinga anda boleh dibersihkan, tetapi ia perlu dilakukan oleh orang lain. Jika terdapat gumpulan serumen yang besar yang seakan-akan hampir jatuh dari salur telinga, rakan anda boleh menggunakan putik kapas dan mengambilnya keluar secara perlahan-lahan. Ia digunakan di kawasan pembukaan salur telinga dan bukannya dimasukkan ke dalam salur telinga (sila dapatkan bantuan orang lain, jangan lakukan oleh diri sendiri). Ya, faham anda tidak mahu kelihatan sebagai seorang pengotor dengan tompokan coklat di salur telinga, oleh itu ia boleh dibersihkan oleh orang lain.

Bagi serumen yang kelihatan jauh ke dalam, saya tidak menggalakkan anda atau rakan anda mencucinya. Jika anda mengorek ke dalam, serumen tersebut akan masuk lebih jauh ke dalam dan bukannya ke luar. Anda dinasihati untuk tidak cuba mengubati diri anda sendiri dengan membeli serta menggunakan ubat titik telinga yang boleh melembutkan serumen. Saya mencadangkan supaya anda berjumpa dengan doktor untuk memeriksa bahagian telinga anda sebelum menitikkan sebarang ubat telinga.

Sekiranya ada masalah serumen atau telinga berair, sila berjumpa dengan doktor anda. Lebih baik jika anda berjumpa dengan doktor ENT untuk konsultasi. Pembersihan telinga akan dilakukan dengan kaedah yang betul menggunakan mikroskop khas untuk pembedahan dan mesin penyedut serta alatan yang lain (imej 2 &3). Kaedah mencuci telinga dengan memancutkan aliran air yang halus yang deras (ear syringing) dengan air suhu badan tidak boleh digunakan oleh semua pesakit.

photo 1

photo 2


Ada beberapa yang pernah bertanya kepada saya sama ada kaedah menggunakan lilin (ear candling) di spa untuk membuang serumen itu baik atau tidak. Saya tidak menggalakkan kaedah ini kerana terdapat beberapa kes di mana lilin panas tersebut pernah tumpah jauh ke dalam salur telinga dan juga pernah merosakkan gegendang telinga.

Kebanyakkan dari kita yang sedang merasa gatal telinga, merasa ianya satu kemestian untuk mengorek telinga untuk menghilangkan rasa gatal tersebut. Perlu diingatkan bahawa semakin anda menggaru dalam telinga, semakin teruk dan semakin kerap rasa gatal tesebut. Ia akan menjadi satu kitaran gatal-garu-gatal yang tidak berhenti. Ia cuma akan berhenti bila anda menahan rasa gatal tersebut & berhenti mengorek telinga.

Tip saya, yang pernah diajar oleh pakar ENT senior saya- garu berulang kali bahagian tulang rawan telinga luar yang berbentuk segitiga anda (tragus) ke dalam salur telinga. Ini akan mengurangkan rasa gatal tersebut buat sementara. Anda akan perasan apabila anda berhenti menggaru telinga, rasa gatal itu akan hilang selepas beberapa hari. Jika anda tidak menahan perasaan gian dan menggaru semula telinga anda, kitaran gatal-garu-gatal itu akan bermula dari awal semula.

Akhir sekali mengenai putik kapas, saya pernah melihat beberapa kes di mana individu tersebut sedang menggunakan putik kapas dan sedang mereka mengorek telinga, malangnya ada kanak-kanak atau kawan mereka yang sedang bermain atau bergurau dengan mereka lalu terlanggar putik kapas tersebut. Akibatnya, putik kapas tersebut tercucuk jauh ke dalam salur telinga. Ini mengakibatkan gegendang telinga bocor. Ya, kemalangan memang boleh berlaku di rumah.

Harapan saya kepada anda setelah membaca semua ini:

Jangan mengorek telinga anda sendiri dan beritahu kawan-kawan anda mengenainya.

Putik kapas ialah untuk kosmetik, bukan telinga anda!

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Ahmad Nordin, seorang pakar ENT yang bertugas di sebuah hospital di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan:

Antibacterial and antifungal properties of human cerumen. Lum CL1, Jeyanthi S, Prepageran N, Vadivelu J, Raman R. 1Department of Otorhinolaryngology, University Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia. Journal J Laryngol Otol. 2009 Apr;123(4):375-8. doi: 10.1017/S0022215108003307. Epub 2008 Aug 11.
The Good, the Bad and the Eww of Earwax Removal – WSJ http://www.wsj.com/articles/SB10000872396390444354004578058513951005712

No comments:

Post a Comment