Pesanan Panaja

Monday, June 22, 2015

3 Doa Jibril Yang Nabi SAW Aminkan Ketika Baginda Menaiki Mimbar


 Ada satu peristiwa ganjil terjadi kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam ketika Baginda menaiki minbar.  Para sahabat ketika itu dapat melihat dan mendengar Baginda menyebut “amin” sebanyak tiga kali.  Ia suatu yang agak pelik lalu menyebabkan para sahabat bertanya.

Peristiwa tersebut ada diriwayatkan di dalam hadith seperti berikut: 





أنَّ النَّبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم صعِد المِنبَرَ فقال : آمينَآمينَ آمينَ
قيل : يارسولَ اللهِ إنَّكَ حينَ صعِدْتَ المِنبَرَقُلْتَ : آمينَ آمينَ آمينَ 

قال : إنَّ جِبريلَ أتاني فقال

مَن أدرَك شهرَ رمضانَ ولَمْ يُغفَرْ له فدخَل النَّارَ فأبعَده اللهُ

قُلْ :آمينَ 

فقُلْتُ : آمينَ 

ومَن أدرَك أبوَيْهِ أو أحَدَهما فلَمْيبَرَّهما فمات فدخَل النَّارَ فأبعَده اللهُ 

قُلْ : آمينَ 

فقُلْتُ :آمينَ 

ومَن ذُكِرْتَ عندَه فلَمْ يُصَلِّ عليكَ فمات فدخَل النَّارَفأبعَده اللهُ 

قُلْ : آمينَ 

فقُلْتُ : آمينَ

Bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam sedang menaiki minbar lalu Baginda berkata:  “amin, amin, amin”.

Maka para Sahabat bertanya:  “Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau apabila sedang menaiki minbar engkau telah berkata “amin, amin, amin”.”

Baginda bersabda:  “Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku lalu dia berkata:  “Sesiapa yang sempat dengan bulan Ramadhan dan tidak diberikan keampunan kepadanya lalu dia masuk ke Neraka, maka ALLAH akan menjauhkannya (dari rahmatNYA).  Katakanlah “amin”.  Lalu aku pun berkata “amin”.  Dan sesiapa yang sempat hidup dengan ibubapa atau salah satu dari mereka berdua dan dia tidak berbuat baik kepada mereka berdua lalu dia mati, lalu masuk ke Neraka, maka ALLAH akan menjauhkannya (dari rahmatNYA).  Katalah “amin”.  Lalu aku pun berkata “amin”.  Dan sesiapa yang mendengar namamu disebut di sisinya dan dia tidak bersolawat ke atasmu, lalu dia mati, lalu masuk ke Neraka, maka ALLAH akan menjauhkannya (dari rahmatNYA). Katalah “amin”.  Lalu aku pun berkata “amin”. “

(Perawi hadith ini ialah Abu Hurairah radhiAllahu `anhu.  Hadith ini ada di dalam Sahih Ibnu Hibban dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih at-Targhib)


[Replika mimbar asal Nabi Muhammad SAW] 

Ada tiga perkara penting yang perlu diberikan perhatian dari hadith di atas, iaitu:

1)  Kepentingan mendapat keampunan daripada ALLAH Subhanahu wa Ta`ala pada bulan Ramadhan.

Justeru, antara perkara utama yang wajar kita lakukan sepanjang Ramadhan ialah memohon keampunan daripada ALLAH sebanyak-banyaknya.  Panjatkanlah harapan dan permintaan agar ALLAH ampunkan segala dosa kita samada yang diketahui atau pun yang kita tidak sedar.  Bahkan dalam beberapa hadith ada disebut tentang ganjaran pengampunan dosa bagi sesiapa yang beribadah sungguh-sungguh pada bulan Ramadhan.  Hal itu ada disebutkan di dalam tulisan yang lalu iaitu:

RAMADHAN: Perbanyakkan Mohon Keampunan & Kembalilah Kepada ALLAH
‘Imaanan Wa Ihtisaaban’
2)  Kepentingan berbuat baik kepada ibubapa.

Jika ibubapa kita masih hidup atau salah seorang dari mereka masih hidup, maka berbuat baiklah kepada mereka.  Berbuat baik kepada ibubapa merupakan lesen besar untuk kita dapat rahmat ALLAH lalu memasukkan kita ke dalam Syurga.  Betapa ruginya bagi sesiapa yang masih mempunyai ibubapa atau salah seorang mereka tetapi mengabaikan tuntutan ini.  Pengabaiannya akan membuatkan kita jauh dari rahmat ALLAH di dunia dan di akhirat.  Tulisan berikut ada menyentuh perihal berbuat baik kepada ibubapa:

Oh Muslim, Bahagiakanlah Ibumu.
3)  Kepentingan mengucapkan solawat ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam ketika mendengar nama Baginda disebut.

Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam adalah insan terpilih yang menjadi Utusan ALLAH `Azza wa Jalla.  Dengan sebab Bagindalah kita semua dapat menemui hidayah dan taufiq ALLAH lalu menjadi muslim, alhamdulillah.  Sewajarnya kita sebagai ummat Baginda memuliakan insan paling mulia ini.  ALLAH Ta`ala menyuruh sekalian orang mukmin supaya bersolawat ke atas Nabi Muhammad.  Maka, sewajibnya kita selalu bersolawat ke atas Baginda terutama ketika mendengar nama Nabi Muhammad disebut.  Apatah lagi setelah mengetahuinya dari hadith di atas.  Suruhan dan kelebihan bersolawat serta amaran bagi sesiapa yang tidak bersolawat ke atas Baginda ada disenaraikan di dalam tulisan berikut:

Keutamaan Solawat Ke Atas Rasulullah SAW
Itulah inti doa Jibril yang di’amin’kan oleh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.  Bayangkan betapa mustajab dan pentingnya doa tersebut.  Ia didoakan oleh Jibril, suatu makhluq mulia yang hampir dengan ALLAH lalu di’amin’kan pula oleh insan ma`sum yang terpelihara dari dosa.  Allahu Akbar!

Semoga dengan menghayati hadith tersebut, kita menjadi insaf lalu memuhasabah diri akan 3 perkara yang disebut itu, in shaa’ ALLAH.  Kepada ALLAH lah kita pohon akan hidayah dan taufiq, amin…

– muzir.wordpress.com

————————————-

*Gambar mimbar di atas telah dirakam oleh penulis ketika melawat Pameran Mengenai Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam yang telah diadakan di Madinah pada tahun 2013.  Lain-lain replika, model dan bahan pameran boleh dilihat di sini, in shaa’ ALLAH:

https://muzir.wordpress.com/2013/07/14/pameran-mengenai-sirah-nabi-muhammad-saw/
*SUMBER:  https://muzir.wordpress.com/2015/06/15/3-doa-jibril-yang-nabi-saw-aminkan-ketika-baginda-menaiki-mimbar/


No comments:

Post a Comment