Pesanan Panaja
Tuesday, May 18, 2010
KeFaRdHuAn MeMiLiH Yg HaLaL....
Sekadar renungan bersama berdasarkan deripada khutbah jumaat di bawah yang membawa tajuk "kefardhuan memilih yg halal" berdasarkan daripada koleksi khutbah jumaat 2008(JAKIM) sama2lah kita baca dengan teliti dan hayati sebaik mungkin, InsyaAllah semoga kita sentiasa berada di dalam keredhaan Allah s.w.t. Kerana hidup sebagai seorang muslim adlah bertujuan mancari keredhaan Allah s.w.t.
Kehidupan kita hari ini yang dihidangkan dengan pelbagai barang makanan, minuman dan barang gunaan menuntut kita berwaspada dan berhati-hati dalam mengguna barangan tersebut kerana masalah halal dan selamat. Justeru itu, mimbar Jumaat hari ini ingin mengingatkan para jemaah tentang kewajipan menggunakan makanan dan barangan halal lagi baik dalam kehidupan seharian.
Maksudnya:
"Wahai sekalian manusia! makanlah dari apa yang ada dibumi yang halal lagi baik; dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (surah al-Baqarah : 168)
Kesedaran masyarakat berkaitan isu halal ini perlu dipertingkatkan kerana beberapa faktor iaitu:
1.Bidang pengeluaran makanan dan barang gunaan serta perkhidmatan semakin maju. Di kalangan pengeluar berlumba-lumba mengeluarkan barangan dan perkhidmatan masing-masing dengan pelbagai kaedah yang menarik untuk tujuan pemasaran. Hakikatnya ramai di kalangan kita hanya mengetahui sebahagian sahaja daripada status halal, suci serta baik barang-barang makanan atau perkhidmatan yang dijual dipasaran. Masih banyak barangan makanan dan gunaan serta perkhidmatan di pasaran yang kita tidak tahu status halalnya. Sebagai contoh berleluasanya ubat-ubatan yang dikaitkan dengan kekuatan tenaga batin dan rawatan kecantikan yang dijual dikedai-kedai kaki lima. Begitu juga kempen-lempen perniagaan cepat kaya yang beroperasi melalui internet dan kaedah-kaedah biasa. Semuanya ini menuntut kita agar berhati-hati dari terjerumus kepada yang haram dan membahayakan diri.
2.Kebanyakan kita umat Islam menjadi masyarakat pengguna bukan menjadi masyarakat pengeluar. Inilah satu cabaran besar kepada kita dalam menghadapi isu makanan dan barang-barang gunaan. Oleh itu, menjadi fardhu kifayah kepada umat Islam menghasil dan mengeluarkan bahan makanan dan gunaan serta perkhidmatan untuk kegunaan harian kerana ini akan lebih menjamin kehalalan dan kesuciannya. Di samping berperanan memperkasa ekonomi umat Islam itu sendiri dan sekaligus mengelak pergantungan kepada masyarakat lain. Sesungguhnya inilah tanggungjawab fardhu kifayah yang perlu diperjuangkan secara bersepadu, berterusan dan bersungguh-sungguh.
3.Pentingnya kesedaran tentang isu halal ini ialah kerana ia mempengaruhi tingkah laku kita. Kita bimbang jika makanan yang dimakan dan seterusnya bertukar menjadi darah daging adalah dari sumber yang syubhah atau pun dari sumber yang haram akan menjadikan kita manusia yang keras hati, malas beribadah, sukar menerima kebenaran, sukakan maksiat dan sebagainya. Maka kesudahannya akan menerima padah azab seksa daripada Allah SWT.
Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah yang menjelaskan hal ini:
Maksudnya: " Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas), dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara yang syubhah (yang tidak terang halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh manusia. Orang yang memelihara dirinya daripada perkara syubhah itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatannya dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubhah akan masuk ia ke dalam perkara yang haram laksana seorang pengembala dipinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja ada sebuah kawasan larangan dan tempat larang Allah itu adalah segala yang diharamkan. Ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging jika ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati. "
Demi menjamin makanan, minuman dan barang-barang gunaan yang kita gunakan halal, suci dan selamat; mimbar yang mulia ini mencadangkan langkah-langkah berikut:
a)marilah kita insafi betapa besarnya tuntutan syarak dalam memelihara halal&haram.
b)kita wajib memastikan makanan,minuman,ubat-ubatan dan barang2 gunaan mempunyai logo halal yang sah.
c)memastikan program-program dihotel adalah hotel yang memiliki sijil halal.
d)memastikan makan minum hanya direstoran-restoran milik umat Islam.
e)tidak melibatkan diri dalam sebarang perniagaan yang mengandungi unsur gharar (tipu) dan riba.
Maksudnya: " Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadah kepada-Nya. " (Surah al-Baqarah: 172)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment