Bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah ramhatNya kita masih diberi nikmat umur yang panjang, kesihatan dan kebahagiaan di dunia ini. Namun sebagai umat Islam janganlah kita lalai dan leka dalam kehidupan di dunia yang semakin bertambah dan bermaksud dekatlah kita kepada ajal. Dari itu kita seharusnya semakin matang dan bijak dalam mengisi dan memanfaatkan usia kita ini selagi berkesempatan.
Hijrah dapat menguji sejauh mana tahap keimanan dan pengorbanan seseorang individu tersebut terhadap agamanya. Hijrah memerlukan sifat sabar, sanggup berjihad dan menerima apa jua rintangan dan cubaan serta sanggup berkorban apa sahaja, jiwa harta mahu pun keluarga.
Hijrah bukan sahaja terbatas kepada pengertian berpindahnya dari satu tempat atau negeri ke tempat yang lain, tetapi juga boleh meliputi kepada makna berpindahnya dari sifat atau perbuatan yang kurang atau tidak baik kepada baik.
Hijrah hati ialah hijrah yang tidak memerlukan perpindahan dari bentuk fizikal dan kebendaan. Cuma ia memerlukan kemahuan, keazaman, kesungguhan dalam melaksanakan dan yang paling penting ialah keikhlasan hati.
Hati adalah punca atau bermulanya segala amalan atau perbuatan, samada baik atau buruk, berpahala atau berdosa. Hati dicipta Allah S.W.T sebagai pelengkap paling utama di dalam tubuh manusia. Hati menjadi tempat jatuhnya pandangan dan nilai Allah S.W.T terhadap hambanya.
Al-Imam al-Ghazali menegaskan bahawa hati adalah seperti raja, sedangkan anggota lain sebagai tenteranya. Semua anggota-anggota ini akan taat dan patuh terhadap perintah rajanya ini(hati), sesuai dengan maksud hadith Rasulullah s.a.w riwayat Iman Bukhari dan Muslim :
“Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, ketahuilah itulah hati.”
Marilah kita sama-sama berusaha menjadikan tahun ini sebagai titik tolak peningkatan amal kebaikan dan kita. Tanamkanlah niat yang ikhlas dalam menjalani kehidupan ini dan berpegang teguhlah pada tuntunan Allah S.W.T. Semoga kita dikurniakan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Taubah ayat 20: Tafsirnya
:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja dan mereka itu orang-orang yang berjaya.”
No comments:
Post a Comment