Pesanan Panaja

Monday, November 21, 2011

Sebab Mendapat Hak Milik Manfaat Secara Peribadi


Seseorang itu akan mendapat hak milik manfaat secara peribadi dengan sebab-sebab berikut (Zaydan, 1969;Faizah, 1995):

Mendapat izin atau kebenaran (ibahah)
Maksudnya di sini, wujudnya keizinan dan kebenaran daripada pihak tertentu kepada orang lain untuk mengguna dan memperolehi manfaat sesuatu benda. Kebenaran ini mungkin diberi oleh pemilik benda tersebut atau pihak lain seperti kerajaan atau mahkamah.

Sebagai contoh, Fauzi mengajak kawannya untuk sama-sama menunggang motosikalnya. Contoh lain, Fatimah menjemput tetamunya untuk menikmati hidangan yang disediakan.


Sewaan (ijarah)
Sewaan merupakan salah satu kontrak (akad) yang dibenarkan dalam Islam. Kontrak ini merupakan kontrak yang memberi milik manfaat sesuatu benda dengan mengenakan bayaran tertentu kepada penyewa. Sebagai contoh, apabila Zakaria menyewakan rumahnya kepada Fauzi, maka Fauzi sebagai penyewa berhak mendiami rumah tersebut. Sebagai balasannya, Fauzi dikehendaki membayar sewa seperti mana yang telah dipersetujui dalam kontrak.

Pinjaman (i`arah) 
Pinjaman adalah suatu kontrak yang membolehkan peminjam menggunakan barang pinjaman secara percuma. Ini bermakna, perbezaaan antara sewaan dengan pinjaman adalah dari aspek bayaran sahaja di mana sewaan melibatkan bayaran tertentu tetapi pinjaman tidak melibatkan apa-apa bayaran.

Saya ingin jelaskan di sini bahawa pinjaman atau dalam bahasa Arabnya disebut al-i`arah berbeza daripada pinjaman wang atau dalam bahasa Arabnya diistilahkan sebagai qardh. Qardh hanya dikhususkan untuk pinjaman wang semata-mata tetapi al-i`arah adalah pinjaman untuk selain mata wang. Sebagai contoh, Ahmad meminjamkan keretanya kepada Fadhly. Oleh itu, Fadhly sebagai peminjam berhak menggunakan kereta tersebut untuk tempoh yang dipersetujui. Dengan kontrak pinjaman ini, penggunaan tersebut adalah secara percuma sahaja. Fadhly juga boleh meminjamkan barang pinjaman tersebut kepada orang lain jika Ahmad tidak meletakkan apa-apa syarat semasa membuat kontrak pinjaman tersebut dengan Fadhly. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian fuqaha’ yang tidak membenarkan sama sekali peminjam meminjamkan barang pinjaman kepada orang lain (Faizah,1995).

Wakaf
Wakaf ialah memberi hak milik manfaat kepada pihak yang diwakafkan kepadanya. Apabila wakaf telah berlaku, pihak yang diwakafkan kepadanya harta tertentu berhak menggunakan harta wakaf tersebut sebagaimana yang disebut dalam perjanjian wakaf berkenaan.

Sebagai contoh, Abdullah mewakafkan rumahnya untuk dijadikan tempat tinggal anak-anak yatim. Oleh itu, orang yang berhak mendiami rumah wakaf berkenaan adalah anak-anak yatim sahaja.

Wasiat
Wasiat merupakan salah satu cara pemberian hak milik manfaat kepada seseorang. Hak milik manfaat yang diperolehi melalui cara wasiat ini hanya berkuatkuasa setelah pewasiat meninggal dunia.

Sebagai contoh, Ahmad mewasiatkan rumahnya untuk didiami oleh Fauzi sekeluarga selama lima tahun. Ini bermakna, setelah Ahmad meninggal, Fauzi sekeluarga boleh mendiami rumah tersebut untuk tempoh lima tahun sebagaimana yang terkandung dalam wasiat berkenaan.

Saya ingin menarik perhatian anda bahawa jika wasiat hanya melibatkan pemberian hak milik manfaat sahaja seperti dalam contoh yang saya telah saya berikan, maka hak milik yang diperolehi oleh orang yang diwasiatkan kepadanya adalah hak milik tidak sempurna. Ini kerana dia hanya memiliki manfaat benda yang diwasiatkan sahaja, tetapi jika wasiat tersebut melibatkan pemberian hak milik fizikal sesuatu benda dan manfaatnya sekali gus, maka hak milik yang diperolehi oleh pihak yang diwasiatkan kepadanya adalah hak milik sempurna.

1 comment:

  1. assalamualaikum wbt.

    saya teruja untuk tahu, proses wakaf harta pun turut memerlukan perjanjian, kontrak dan seumpamanya juga?

    ReplyDelete