Zaharuddin Abd Rahman,
01 Ogs 2013
Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun?
Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi dan as-Syafie pula berpendapat ia bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu' 6/450).
Selain dari itu, berdasarkan dalil hadis al-Bukhari, kemungkinan terbesar jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW, ertinya:
“Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir." ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)
Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamanya di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke 27 (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadis yang menyebut, ertinya:
"Malam al-Qadar dalam malam ke 27." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )
Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar
Allah SWT pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya, yang bermaksud:
“Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: ‘Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia’, dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.” ( Al-Baqarah : 200 )
Jelas dalam ayat ini Allah SWT menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.
Lalu Allah SWT mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat.. dan dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.
Lihat doa yang diingini Allah SWT, maksudnya:
"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ‘Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka." (Surah al-Baqarah : ayat 201)
Pada malam-malam akhir ramadhan ini matlamat utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah SWT. Inilah yang disebut dalam jawapan Nabi SAW kepada Aisyah RA:
"Berkatalah Aisyah, Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa)? Bersabda Nabi: Sebutlah doa, Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan."
Mestikah Mendapat Tanda?
Sabda Nabi SAW, ertinya:
“Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya..." ( Riwayat Muslim)
Hadis ini menyebabkan sesetengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadis di atas.
Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, sama ada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki dan kelebihan oleh Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.
Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.
Masa Berkat Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?
Saya masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar cerita kepada kebanyakan saya dan rakan-rakan ketika itu yakni:
Waktu makbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat.
Rupa-rupanya, cerita hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu, ertinya:
“Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Surah al-Qadr : ayat 5)
Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami' Li Ahkam al-Quran, 20/134 )
Wanita Haid Terhalang Dari Berkatnya?
Adakah wanita sedang haid terhalang dari keberkatan lailatul Qadar?. Sudah tentu jawabnya tidak, Allah SWT maha adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti:
1. Berzikir
2. Berdoa
3. Membawa terjemahan al-Quran serta memahaminya.
4. Mendengar bacaan al-Quran oleh suaminya, adik-beradik atau dari kaset.
Sebahagian ulama silam dan moden seperti Syeikh Profesor Dr Muhammad Abu Laylah ( Prof Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga membaca al-Quran tanpa memegangnya (melalui hafazan), malah sebahagian yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya melalui mashaf. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar memberikan idea dan keterbukaan kalangan para ulama.
Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan pada malam tersebut.
http://www.zaharuddin.net/
No comments:
Post a Comment