"Hari tu. Malam Rabu. Lokasi, surau kampungku. Kuliah tasawuf; kitab ‘Penawar Bagi Hati’. Biasanya sambutan pendengar agak baik kerana ‘presentation’ ustaz ini agak baik dengan kemampuan membuat seloka sesuai dengan selera golongan pertengahan dan tua. Beliau adalah tuan guru kepada madrasah pondok yang terkenal di negeri ini.
Selepas solat maghrib, sebelum kuliah bermula, aku biasanya balik sekejap ke rumah ku yang sejauh 20-30 langkah daripada surau untuk memastikan 4 orang anak lelaki telah memulakan sessi mengaji dan menghafaz pada selang 2 waktu yang singkat itu. Aku terpaksa… sebab mereka belum memiliki disiplin diri atas apa yang disebut dan diidami oleh setiap parents pada anak-anak mereka iaitu kemampuan ‘memulakan sendiri tanpa disuruh&rsquo
Aku teringat kata mutiara seorang sarjana tempatan antara paling faqih yang aku ketahui dalam soal tarbiyatul aulad iaitu Ustaz Hasrizal yang aku fahami begini,
‘seorang itu dapatlah dikatakan berjaya, jika anaknya yang biasa melakukan kebaikan dalam kehadirannya, biasa juga melakukan kebaikan yang sama dibelakangnya’.
Kata di atas telah terpinda dari kata asal yang lebih indah sebab aku sebenarnya tidak ingat kata-kata hikmah ustaz itu, cuma aku fahami maksud katanya. Aku harap pembaca dapat memahaminya - malah ia boleh dipinda ikut sesuka hati kita dan ditafsir lebih luas asalkan membawa maksud positif. Bagi ibubapa yang anak-anaknya telah memiliki sifat ini, tahniah! Tetapi ingat ini adalah satu aspek kejayaan dalam satu aspek pentarbiyahan.
Fokus, fokus fokus. Aku membisikkan kepada diri sendiri. Itulah masalah aku. Itulah kelemahan aku yang ditegur editor buku. Tapi kat sini, aku tidak peduli, mesej selagi banyak ilmu dapat dikongsikan, aku nak kongsikan. Takut simpan, lupa. Aku nak ikut manhaj Dr Muhayah, tamak PV pahala.
Kembali kepada kisah asal. Aku melihat mereka sedang dalam keadaan mahu memulakan sesi hafazan. Aku bertanya kepada anakku yang berumur 12 tahun, “Faruq, kenapa tidak nampak kau pada saf pertama?.” Dia menjawab dalam keadaan marah, sedih dan kecewa betapa dirinya telah diarahkan berpindah ke saf belakang. Tidak perlu lah aku beritahu siapa. Masalah yang sama…. (seperti pernah aku tulis sebelum ini).
Kuliah kedengaran telah dimulakan. Macammana aku tahu? Manakan tidak, mic utk speaker luar di hidupkan. Bunyinya sangat kuat dan jelas. Bahkan dari rumah aku, sangat jelas, lebih jelas daripada jika aku berada di dalam surau. Sebenarnya ia mengganggu sesi hafazan anakku… susah mereka nak fokus tapi apalah daya ku… Mereka mengadu bising sangat, macammana nak hafal… aku terpaksalah menjawab … bahawa seorang penghafaz yang baik mesti mampu menghafaz dalam apa jua suasana. Kalau hafaz kat hutan, pun ada bunyi bising monyet mengganggu.
Tok guru tidak memulakan dengan kitabnya tetapi tiba-tiba membangkitkan isu saf solat dan kedudukan kanak-kanak dalam saf solat orang dewasa. Dia melarang dengan tegas dan keras larangan kanak-kanak berada dalam saf orang dewasa. Banyak yang dikatakan dan antara yang ditegaskan ialah
“Batal pahala semua jemaah (dewasa) pada solat saf itu!”
“Ah tak habis lagi isu ini!”, kata aku sambil memandangkan tingkap menghala ke surau. Aku terasa bahawa tiba-tiba isu ini dibangkit kerana anak-anak ku telah berada di saf solat -yang pertama. Lalu, aku teringat antara jawapan terbaik pada persoalan ini dari ustaz terbaik yang aku telah print dan simpan yang sebenarnya ketika itu betul-betul berada di hadapan aku, ketika itu. Aku pun mencapainya, dan meninggalkan anak-anakku untuk pergi ke surau untuk berdepan dengan tok guru itu (… ceh, ayat gempak aje).
Tuan guru itu masih terus membahaskan isu kanak-kanak itu..
Lalu saya mengangkat tangan mohon bertanya, tuan guru membenarkan:-
S: “Ustaz, apakah maksud kanak-kanak itu?
J : “ yang belum baligh ..” (seperti diduga)
S: “maknanya tidak kira kanak-kanak itu dah bersunat atau tidak?”
J : “Ya, benar”.
S: Walaupun dia dah sunat, mumayiz dan pandai jaga hal najis?”
J: Ya.
S: Tapi apa sebabnya- kanak-kanak itu dilarang .. walaupun dia dah bersunat?
J: Ulama tetapkan ukurannya baligh. Pendapat palung kuat dalam mazhab Syafie.
(Saya sebenarnya masih tidak berpuashati apa justifikasi ketetapan baligh itu sebagai syarat… bersama saf orang dewasa. Tetapi… tak tergamak lagi nak bersoal jawab lebih dalam dalam hal itu ngan ustaz)
Saya pun beralih kepada realiti hari ini:-
S: Ustaz, kebetulan saya lambat sikit datang solat tadi, masuk saf dua, seorang bapa muda bawa anak kecil, dia bagi laluan dulu pada saya, rupanya dia solat sebelah saya dan anaknya sebelah dia. Takkan batal pahala jemaah saya kerana anak dia ada dalam saf kami … itu diluar kawalan saya. Bukankan ada firman Allah… yang bermaksud .. Allah tidak membebankan apa yang diluar kemampuan kita..?
J: Itu takpa.. bukan salah kita.
Sya rasa memadailah… walaupun terdapat banyak lagi kemusykilan logik daripada larangan itu .
Tanpa bermaksud untuk mencabar tuan guru atau ustaz itu, lalu saya berkata:-
“Maafkan saya ustaz, kerana isu ini pernah dibangkit maka saya telah buat kajian sendiri dan menemui beberapa penulisan tentang isu ini oleh ustaz-ustaz termasuk oleh seorang imam di Masjid di Terengganu. Kesimpulannnya kesemua membenarkan satu saf untuk orang dewasa dengan kanak-kanak. Bahkan terdapat dalil hadith dan hujah ulama yang berpendapat begini”.
Saya kemudiannya bangun dan menuju ke tempat ustaz dan bersimpuh disebelah depannya. Saya tunjukkan beberapa bahagian penting daripada artikel itu antaranya:-
1. Adanya hadith sahih di mana nabi mengimamkan solat jemaah di mana saf pertama makmun terdiri daripada Anas bin Malik dan seorang anak yatim (belum baligh).
2. Larangan mengalihkan atau memindahkan kanak-kanak yang berada di dalam saf pertama dengan orang dewasa ke saf belakang.
3. Dan beberapa yang lain.
Saya juga mengatakan; “Maaf saya ustaz, saya keliru kerana ada pandangan ilmuan berbeza .. kalau boleh ustaz perjelaskan”
Kesimpulan; ustaz mengiyakan hujah dalam artikel itu tetapi masih menegaskan bahawa pandangan terkuat (dikatakan Imam Nawawi, jika tidak silap) dalam mazhab Syafie namun kini syukurlah, sekadar difokus hanya kepada kaedah penyusunan saf pada awal solat jemaah nak didirikan. Jika kanak-kanak dah masuk dalam saf yang kosong, tidak boleh dihalau kebelakang. Tapi ustaz masih menegaskan kalau dari awal, kanak-kanak perlu diasingkan ke saf lain.
Walaupun saya bersyukur ustaz tidak lagi men’ generalisasi’ larangan itu dan mula fokus kepada susunan awal saf, saya masih tidak dapat bersetuju kerana ustaz tidak mendatang dalil dan hujah yang diharapkan.
Saya nak tahu sangat siapa ulama yang kata batal pahala jemaah solat semua orang dalam saf kerana adanya kanak-kanak (walaupun dan sunat dan suci dari najis dan sudah tahu dan faham solat) dan apa dalil dan hujahnya.
Sebaliknya artikel yang saya baca begitu lengkap dan meyakinkan, setakat ini. Saya berprinsip jika ada kekuatan hujah yang lebih kuat, saya bersedia tunduk pada kebenaran.
Saya hadiahkan ustaz artikel tebal itu untuk bacaan ustaz. Saya faham ustaz sebagai tuan guru yang hebat dalam pengajian kitab turath khususnya pada mazhab syafie telah begitu lama bertahan dalam pandangan hukum yang diketahui dan diajarnya. Cuma saya berharap jika atas hujah dan dalil, ternyata pandangan yang lebih kuat pada sunnah ialah yang lain walaupun diluar mazhab, sebagai guru yang tawaduk, tentulah bersedia untuk tunduk kepada kebenaran … iaitu pendapat hukum yang paling menepati sunnah Rasulullah s.a.w.
Minggu berikutnya… dengan kepercayaan bahawa ustaz telah meneliti artikel itu, ustaz masih menekankan pandangan – keterbatalan pahala jemaah saf solat kerana ada kanak-kanak atas alasan bahawa ia adalah pandangan paling rajih dalam mazhab syafie namun saya lihat pada amalan dan realiti , kelihatan ustaz tidaklah begitu memantau saf kanak-kanak …
Ustaz kemudian ada mengatakan bahawa … seorang kanak-kanak yang memayiz, tahu solat, baca pun sedap… boleh jadi imam solat jemaah.
Saya terkesima …
Kerana apa? Kalau berada dalam saf solat, membatalkan pahala jemaah satu saf solat itu, tidak batalkah pahala jemaah semua makmum solat pada semua saf solat … apabila imamnya kanak-kanak .. bila berada paling depan?
Fikirkan …..
Bagi yang ingin maklumat artikel dan hujah lebih tepat, jelas dan lengkap sila ke blog – hisham-ahmad.blogspot.com
"
No comments:
Post a Comment