Pesanan Panaja

Wednesday, May 28, 2014

Sultan Azlan Shah Seorang Hakim Yang Sabar, Kata Ketua Hakim Negara



KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah merupakan seorang hakim yang sabar dan jawatan itu amat sesuai dengan diri baginda, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Arifin berkata semasa Sultan Azlan Shah menjadi hakim dan ketua hakim negara, baginda telah menulis banyak penghakiman penting khususnya tentang perlembagaan dan undang-undang pentadbiran.



"Kami (para hakim) masih membaca dan merujuk kepada penghakiman dan keputusan dibuat baginda," kata Arifin semasa dihubungi hari ini sambil berkata beliau berasa amat sedih dengan kemangkatan baginda.

Sultan Azlan Shah mangkat pada 1.30 tengah hari ini. Baginda berusia 86 tahun.

Kemangkatan baginda diumumkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir melalui Radio Television Malaysia (RTM).

Arifin, yang mempunyai pengalaman luas bekerja bersama-sama Sultan Azlan Shah sejak beliau menjadi pendaftar di Mahkamah Tinggi pada 1976, menyifatkan baginda seorang hakim yang sabar.

"Semasa Tuanku dilantik sebagai Sultan Perak, saya juga merupakan Penasihat Undang-undang Negeri Perak dan saya berkhidmat kira-kira lima tahun dan apabila Tuanku menjadi Yang di-Pertuan Agong, saya menerima surat pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi daripada baginda.

"Semua hakim dan peguam akan setuju bahawa baginda seorang hakim yang sabar dan benar-benar sesuai bagi jawatan itu (hakim). Saya benar-benar bangga pernah bekerja dengan baginda," kata Arifin, dan menurutnya beliau pernah mengendalikan kes di hadapan Sultan Azlan Shah semasa beliau menjadi peguam persekutuan.

Sultan Azlan Shah dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, merupakan hakim termuda dilantik dalam Komanwel, pada 1965 pada usia 37 tahun.

Pada 1973, baginda dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan enam tahun kemudiannya pada 1979, sebagai Hakim Besar Malaya, jawatan yang dipegang baginda sehingga dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 12 Nov 1982 dan merupakan hakim termuda dilantik ke jawatan itu.

Arifin dalam kenyataan akhbar yang diedarkan kepada media pula berkata beliau mewakili badan kehakiman dan seluruh warga kerja badan itu mempersembahkan ucapan takziah kepada keluarga diraja Perak atas kemangkatan Sultan Azlan Shah.

"Seluruh warga kehakiman mendoakan agar roh Almarhum Baginda Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," katanya.

Beliau berkata Almarhum merupakan Ketua Hakim Negara kelima dari tahun 1982 hingga 1984 telah memberikan sumbangan yang amat besar dan tidak ternilai dalam bidang perundangan dan kehakiman negara.

"Sesungguhnya kemangkatan Almarhum Baginda Tuanku merupakan satu kehilangan yang amat dirasai oleh seluruh warga kehakiman khasnya dan negara amnya," kata Arifin.

Antara kes penting diputuskan oleh Sultan Azlan Shah semasa baginda menjadi Ketua Hakim Negara adalah kawalan tindakan pentadbiran kehakiman dalam kes Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan lwn Sri Lempah Enterprise Sdn Bhd pada 1979.

Dalam penghakiman itu, Sultan Azlan Shah memutuskan "Mahkamah merupakan satu-satunya yang mempertahankan kebebasan subjek terhadap sifat agresif jabatan...bahawa "badan-badan awam perlu dipaksa untuk mematuhi undang-undang dan adalah penting bahawa birokrasi dipastikan berada di tempatnya",.

Juga dalam kes Dato Menteri Othman bin Baginda & Anor lwn Dato Ombi Syed Alwi bin Syed Idrus pada 1981, berhubung Perkara 10 atau Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan undang-undang khas terhadap tindakan subversif dan memudaratkan ketenteraman awam, seperti keganasan.

Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail semasa dihubungi menyifatkan Sultan Azlan Shah sebagai "hakim luar biasa" dan berkata semua peguam akan sentiasa mengingati baginda.

"Baginda membuat penghakiman yang amat bagus," katanya ketika ditanya tentang penghakiman Sultan Azlan Shah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment