Pesanan Panaja

Monday, March 7, 2011

Bahasa Melayu - Penyebaran Islam

     Bahasa  Melayu juga memainkan peranan penting dalam penyebaran agama, terutamanya agama Islam. Pada masa pemerintahan Kerajaan Melayu Sriwijaya, bahasa Melayu telah memainkan peranannya dalam penyebaran  agama Hindu dan Buddha kerana pada masa itu kedua-dua agama itulah yang mempengaruhi budaya Melayu. 
     Bahasa Melayu dalam bentuk bahasa Melayu kuno telah pun digunakan dalam penyampaian idea-idea  abstrak seperti konsep falsafah dan agama bagi mengajarkan agama Hindu dan Buddha. I Tsing, pada tahun 671 Masihi, menyatakan bahawa jika ada orang yang hendak mendalami pengetahuan tentang agama Buddha, dia perlu pergi ke Palembang, Sriwijaya, sebagai tempat untuk menuntut ilmu itu.

Penyebaran Agama Islam Abad Ke-14
(Sumber: Mohd. Jamil Mukmin, (1994), Melaka Pusat Penyebaran Islam
di Nusantara, Kuala Lumpur: Nurin Enterprise)

     Pada masa agama Islam disebarkan di Nusantara, bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu juga. Daerah awal penyebaran agama Islam ialah di pelabuhan-pelabuhan yang terletak di pesisiran pantai timur Sumatera.  Negeri-negeri ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan sebagai bahasa lingua franca dengan  suku-suku bangsa lain di Nusantara. 
     Bahasa Melayu digunakan juga oleh pedagang-pedagang yang singgah di pelabuhan-pelabuhan tersebut. Penggunaan bahasa Melayu dalam penyebaran agama Islam ini menjadi semakin rancak apabila Kesultanan Melayu Melaka terbentuk dan berkembang. Sepertimana rajah di atas menunjukkan penyebaran agama Islam pada abad ke-14.
     Agama Islam yang diperkenalkan dan diterima oleh orang Melaka telah disebarkan melalui pedagang-pedagang dari Nusantara ke daerah masing-masing. Dengan ini, dalam masa beberapa kurun, agama Islam telah  berkembang secara berperingkat-peringkat ke seluruh Nusantara. Bahasa Melayulah yang digunakan dalam penyebaran agama Islam ini.
     Perkembangan Islam ini juga telah mengubah bentuk bahasa Melayu itu sendiri. Pada masa penyebaran agama Hindu dan Buddha, bahasa Melayu telah menggunakan tulisan dari India dan perkataan-perkataan Sanskrit telah mula menjadi sebahagian daripada perbendaharaan kata bahasa Melayu. Apabila Islam diterima sebagai  agama anutan sebahagian besar penduduk diNusantara, bahasa Melayu telah mengalami perkembangan yang lebih pesat. Orang Melayu telah meninggalkan tulisan Pali yang berasal dari India Selatan, dan sebagai gantinya mereka menggunakan tulisan Jawi yang berasal dari tulisan Arab, yang telah disesuaikan dengan bahasa Melayu. Rajah di bawah menunjukkan contoh tulisan tersebut.
    Bahasa Melayu juga telah memainkan peranan penting dalam penyebaran agama Kristian di Nusantara. Semasa mubaligh-mubaligh Kristian menyebarkan agama Kristian dalam kalangan penduduk di Kepulauan Maluku, mereka telah menggunakan bahasa Melayu, walaupun mereka mempunyai bahasa mereka sendiri. Pada masa itu,Kitab Injil telah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu untuk memudahkan penyebaran agama itu dalam kalangan penduduk Nusantara.
     Sebagai hasil daripada penggunaan bahasa Melayu dalam penyebaran agama Kristian, bahasa  Melayu telah  mengambil alih bahasa tempatan. Orang Kristian ini akhirnya menjadikan  bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda  mereka.  Anehnya,  orang  Maluku yang  beragama  Islam  menggunakan  bahasa  suku  kaum  mereka  sendiri,  yang sangat berbeza daripada bahasa Melayu.

Beberapa contoh kitab dan manuskrip keagamaan Islam berbahasa Melayu
(SumberManuskrip Islam di Muzium Islam Malaysia, (1992), Engku Ibrahim Ismail dan
Osman Bakar (Penyelenggara), Bahagian Hal Ehwal Islam Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya)


2 comments:

  1. nie assignment ker naper nie lang

    ReplyDelete
  2. bukang boss...ni nota...tepek sini berkongsi sikit2...ape salohnyer....

    ReplyDelete