Pesanan Panaja

Monday, November 21, 2011

Definisi Hak Milik


Hak milik ialah satu hubungan yang sah antara seseorang dengan sesuatu harta menurut syarak (Zaydan,1969).



Daripada pengertian di atas, kita dapat memahami bahawa hak milik dalam Islam merujuk kepada hak milik yang diiktiraf oleh syarak sahaja. Pengiktirafan syarak terhadap hubungan tersebut menyebabkan orang yang diiktiraf sebagai pemilik mempunyai keistimewaan dan hak untuk menghalang orang lain daripada memiliki hartanya secara tidak sah.


Dengan pengiktirafan tersebut juga, pemilik bebas menguruskan hartanya mengikut kehendaknya tanpa perlu mendapat keizinan orang lain selagi dia berkelayakan untuk berbuat demikian dalam batasan yang telah ditetapkan oleh syarak. Dia boleh menggunakan harta tersebut. Dia juga boleh memberi ruang kepada orang lain untuk menggunakan hartanya sama ada secara berkongsi atau secara berasingan. Dia juga boleh mewakilkan orang lain untuk menguruskan hartanya. Ringkasnya, dia boleh melakukan apa sahaja terhadap hartanya selagi mana ia masih dalam batasan yang telah dibenarkan oleh syarak.

Daripada penjelasan di atas, kita dapat memahami bahawa orang yang diwakilkan untuk menguruskan harta kita tidak disifatkan sebagai pemilik, kerana dia tidak mempunyai kebebasan untuk mengurus harta kita sesuka hatinya. Malah dia terikat dengan peraturan dan syarat yang telah kita tetapkan. Begitu juga dengan orang yang diamanahkan untuk menguruskan harta orang lain seperti wasi, juga tidak dianggap sebagai pemilik. Sebagai contoh, jika seseorang diamanahkan untuk mengurus dan mentadbir harta orang gila atau kanak-kanak kecil, maka pemegang amanah tersebut bukan pemilik kepada harta berkenaan tetapi pemilik sebenar ialah orang gila atau kanak-kanak tersebut.

No comments:

Post a Comment