Pesanan Panaja

Tuesday, March 12, 2013

KEPIMPINAN ISLAM: KONSEP DAN AMALANNYA



Allah s.w.t. mencipta manusia, melengkapkan mereka dengan keupayaan 
intelek dan menjadikan mereka sebagai khalifah (pemimpin) di atas muka 
bumi. Di samping kejadian manusia, Allah juga mencipta makhluk-makhluk 
dan kejadian lain sebagai sesuatu yang berguna kepada manusia. Dalam 
mencipta kejadian-kejadian ini, Allah membekalkan dua prasarana kepada 
manusia untuk memakmurkan muka bumi iaitu kebolehan mengurus (skill) 
dan sumber-sumber (resources). Tanggungjawab memimpin dan mengurus 
sekumpulan individu atau sesuatu masyarakat untuk mencapai objektif atau 
matlamat terletak kepada bahu pemimpin. 



Kejayaan dan kemajuan sesuatu bangsa bergantung kuat kepada gaya 
kepimpinan pemimpin mereka dan berkait rapat dengan kesedaran 
menunaikan tanggungjawab oleh pemimpin dan seterusnya menggerakkan 
masyarakat menuju keredhaan Allah. Islam telah menyediakan garis panduan 
yang jelas dalam soal kepimpinan yang boleh dipraktikkan untuk 
kesejahteraan masyarakat. Konsep kepimpinan Islam perlu difahami dan 
diterapkan dalam bentuk yang komprehensif sesuai dengan maksud Islam 
sebagai cara hidup (nizam al-hayah).


Masyarakat yang cemerlang terbentuk dari kepimpinan yang cemerlang. 
Lebih ramai pemimpin yang memahami kepimpinan sebagai amanah 
dilahirkan dalam sesebuah masyarakat, akan lebih makmur dan sejahtera 
masyarakat. Oleh kerana setiap individu Muslim dianggap pemimpin, mereka 
mesti membina potensi kepimpinan masing-masing yang berkesan kepada 
orang yang dipertanggungjawabkan. 

Kepimpinan mesti dianggap sebagai melaksanakan amanah Allah. Ada yang 
mengatakan, untuk menjadi pemimpin, perlu diamalkan satu falsafah iaitu 
“think like a leader” atau sentiasa berfikir seperti ketua. Dengan cara itu, 
setiap tindakan akan dibuat dengan matang, dengan mengambil kira reaksi 
dan respon pengikut-pengikut. Kepimpinan berkait rapat dengan menjalankan 
tanggungjawab dan memberi hak yang wajar kepada yang berhak 
menerimanya dan ianya banyak bergantung kepada kualiti modal insan yang 
dilahirkan oleh negara yang mampu bersaing di peringkat global. 

No comments:

Post a Comment