Pesanan Panaja

Saturday, July 13, 2013

Hadis Mushkil Sesungguhnya Puasa Untuk-Ku Dan Aku Membalasnya


"Hadis Mushkil Sesungguhnya Puasa Untuk-Ku Dan Aku Membalasnya
Muhammad Hanief bin Awang Yahaya, www.darulkautsar.net

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ
Hadis Mushkil Sesungguhnya Puasa Untuk-Ku Dan Aku Membalasnya


Muhammad Hanief bin Awang Yahaya, www.darulkautsar.net



عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ

Daripada Abu Hurayrah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah s.w.t. berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa. Sesungguhnya ia untuk-Ku dan Aku membalasnya. Puasa itu perisai. Apabila hari seseorang itu berpuasa maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata tidak senonoh dan janganlah dia menengking. Sekiranya ada orang yang memakinya atau mahu bertengkar dengannya maka hendaklah dia memberitahu bahawa saya sedang berpuasa. Demi yang nyawa Muhammad di Tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari kasturi. Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, apabila berbuka dia gembira dan apabila bertemu dengan Tuhannya dia gembira dengan puasanya.” (al-Bukhari: 1904, Muslim: 1151)

Mengapa Puasa untuk Allah dan Dia sendiri membalasnya
                                                                                                                              
Ada beberapa keterangan diberikan ulama bagi maksud ini. Pertama, kerana puasa itu tidak berlaku riya` di dalamnya seperti berlaku dalam amalan lain. Ini disebutkan oleh al-Maziri. Qadi ‘Iyad menukilkan daripada Abu ‘Ubayd katanya, Sesungguhnya semua amalan kebaikan bagi Allah s.w.t., Dia-lah yang membalasnya. Maksud dikhususkan puasa di sini kerana ia tidak ternyata dan tidak terlihat pada perbuatan manusia lantaran ia sesuatu dalam hati. Amalan-amalan lain mempunyai pergerakan, kecuali puasa kerana berdasarkan kepada niat. Maksud tidak dimasuki riya` ialah dari segi perbuatan. Kerana menurut Hafiz Ibn Hajar, riya` dalam puasa boleh berlaku dengan lidah apabila orang itu menyebut-nyebut bahawa dia berpuasa.

Kedua, puasa itu disebutkan sebagai rahsia antara Allah dan hamba-Nya. Orang yang berpuasa ikhlas dalam melakukannya dan Allah yang lebih mengetahui keikhlasan dan kadarnya. Oleh itu ia tidak diserahkan kepada malaikat untuk menghitung pahalanya.

Berbeza dengan puasa, sesetengah amalan itu dapat diketahui gandaannya iaitu, penjelasan ini berdasarkan riwayat hadis dalam Muwatta` dan Ibn Majah

كل عمل ابن آدم يضاعف الحسنة بعشر أمثالها إلى سبعمأة ضعف إلى ما شاء الله قال الله إلا الصوم فإنه لي وأنا أجزي به

Setiap amalan anak Adam digandakan. Satu kebaikan dengan sepuluh kali sepertinya sehingga 700 ganda hingga kepada yang dikehendaki Allah. Allah berfirman, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa untuk-Ku dan Aku membalasnya.

Ketiga, maksudnya, ialah puasa merupakan ibadat yang paling dikasihi oleh Allah s.w.t dan tidak tandingan sepertinya.

Dalam riwayat al-Nasa`id an juga Ibn Khuzaymah:

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ مُرْنِي بِأَمْرٍ آخُذُهُ عَنْكَ قَالَ عَلَيْكَ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَا مِثْلَ لَهُ

Daripada Abu Umamah katanya, aku datang menemui Rasulullah s.a.w. dan berkata kepada baginda: “Perintahkan supaya melakukan satu perkara yang aku ambil dari tuan. Baginda menjawab: “Hendaklah kamu (melazimi) puasa kerana tidak tandingan sepertinya.”

Keempat, hadis ini sebagai ungkapan tentang besarnya pahala puasa dan ia tidak ada had. Dalam surah al-Zumar: 10 Allah s.w.t. berfirman:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Tafsiran ini disebutkan oleh ‘Allamah al-Sindi dalam Hashiyah kepada Sunan Ibn Majah.

Kelima, amalan ibadat yang dilakukan oleh manusia termasuk dalam bab ‘Ubudiyyah yang dianggap bersesuaian dengan keadaan manusia sebagai hamba Allah. Ini berbeza dengan puasa kerana ia termasuk dalam bab tanazzuh, mengelakkan diri dari makan dan minum dan tidak memerlukan kepadanya, ya’ni pada masa-masa yang tertentu. Puasa juga termasuk dalam bab berakhlak dengan akhlak Allah. Seolah-olah amalan lain sesuai dengan keadaan manusia tetapi puasa menyerupai sifat Allah, iaitu dari segi tidak perlu kepada makhluk dengan meninggalkan makan minum dan isteri. Apabila seseorang itu berpuasa bererti dia mendekatkan diri dengan cara melakukan sesuatu yang menyerupai sifat Allah. Sehingga dia sedar bahawa maksud sebenar makan, minum dan hubungan kelamin bukan semata-mata memenuhi nafsu shahwat tetapi sebagai wasilah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan untuk mema’murkan alam.

Keenam, dalam Sharh Mushkil al-Athar, Imam al-Tahawi menyatakan, kami meneliti hadis dan mendapat bahawa puasa mempunyai maknanya yang tersendiri tiada pada ibadat yang lain. Seseorang itu mampu untuk melakukan ibadat sembahyang dalam keadaan melakukannya bukan kerana Allah, iaitu memperlihatkan kepada orang lain tetapi menyembunyikan keaibannya,. Demikian juga hal dalam sedekah dan hajinya. Tetapi berbeza pula dengan puasanya kerana orang lain tidak dapat melihatnya. Hanya Allah yang mengetahuinya. Oleh itu, Allah sendiri yang membalasnya.

Ketujuh, Mawlana Anwar Shah al-Kashmiri berpendapat sebab puasa itu khusus bagi Allah s.w.t. sebenarnya sudah tersebut dalam hadis al-Bukhari iaitu “dia meninggalkan makan, minum dan shahwatnya kerana Aku.” Hal ini tidak berlaku kecuali ketika berpuasa. Walaupun seseorang itu tidak makan dan minum ketika sembahyang namun ia tidak menyebabkan seseorang terlepas darinya. Anda masih boleh makan minum setelah selesai sembahyang.

Berbeza dengan puasa, ia menyebabkan seseorang tidak dapat makan dan memenuhi keinginannya sepanjang hari. Melihat kepada ma’na ini, hanya ada puasa sahaja. (lihat Faid al-Bari, jil. 3, hal. 324)

Kelapan, boleh juga untuk dikatakan, oleh kerana puasa itu berbeza dengan kebanyakan ibadat lain yang bersifat badaniyyah, maliyyah dan masing-masing mempunyai rupanya zahir. Manakala puasa pula disebutkan sebagai ibadat tarkiyyah atau ‘adamiyyah, yang tidak perlu melakukan sebarang kerja, hanya menahan diri dari makan minum dan hubungan kelamin. Meskipun ia bersifat tiada kerja atau tidak melakukan apa-apa namun tetap dikira sebagai ibadat. Pada adatnya manusia hanya diberikan upah kerana melakukan tugas bukan kerana tidak berbuat apa-apa kerja. Tetapi Allah sendiri yang mengira puasanya maka amatlah sesuai itu seseorang itu mendapat pahala khusus dari Allah dengan ibadat puasanya. Betapa murahnya Allah s.w.t. dalam keadaan tidak melakukan apa-apa perbuatan melainkan menahan diri dari nafsu, orang berpuasa mendapat pahala yang besar.

" 

No comments:

Post a Comment