Pesanan Panaja

Thursday, April 10, 2014

Guna Peruntukan Kanak-Kanak Buat Jamuan Pejabat



BILA pegawai kerajaan belanja peruntukan yang ditujukan kepada kanak-kanak kurang zat makanan untuk jamuan pejabat, apa lagi yang kita  boleh kata?

Apatah lagi perkara bedebah itu dilakukan oleh pegawai-pegawai kesihatan diamanahkan menjaga peruntukan tersebut. Jangan bimbang, Menteri akan beri seribu alasan. Perkara biasa kan?


Kita tahu perkhidmatan awam Malaysia bukan kelas dunia. Tetapi kita tidaklah menjangka yang ianya seteruk itu.

Apa sudah jadi dengan perkhidmatan awam Malaysia? Apa sudah jadi dengan pegawai kerajaan Malaysia?




Tetapi itulah antara pelbagai musibah dan keburukan yang didedahkan oleh Ketua Juruaudit Negara dalam laporan 2013 yang dikeluarkan semalam.

Terima kasih kepada akhbar The Star kerana memukadepankan penemuan itu.

Inilah yang menyebabkan rakyat jelata makin kritikal terhadap pentadbiran negara. Betullah kata orang dulu kala, bapa borek anak rintik.

Itu jugalah sebabnya rakyat jelata semakin keberatan membayar cukai. Sedangkan buat sekian lama rakyat jelata Malaysia adalah antara yang paling setia membayar cukai.

Yang liat bayar cukai adalah tauke-tauke, pengimport dan pengeksport. Macam-macam helah dan kaedah mereka guna untuk elak cukai, termasuk menipu dan merasuah.

Rakyat tidak bantah GST seperti mereka tidak bantah cukai jualan dan perkhidmatan. Yang mereka bantah adalah pembaziran, pemborosan, salah guna wang negara dan ketidakcekapan.

The Star turut memetik laporan Ketua Juruaudit Negara mengenai kelewatan 18 bulan menyiapkan kompleks mahkamah di Kuantan yang menyebabkan kosnya meningkat RM19 juta dan mesin roti RM1.2 juta untuk Jabatan Penjara disimpan di tempat letak kereta.

Ada Skandal Lebih Besar

Itu cerita tahi gigi kalau dibandingkan dengan salah urus pembinaan terminal penerbangan ekonomi KLIA2 yang bukan saja terlewat dua tahun, tetapi juga menelan belanja dua kali ganda - daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion.

Kontrak utamanya diberikan kepada usaha sama UEM-Bina Puri Berhad. UEM adalah GLC milik Khazanah Nasional manakala Bina Puri adalah syarikat pembinaan yang ada kaitan dengan MCA. Pengerusinya, Wong Foon Meng adalah bekas Setiausaha Agung MCA dan Speaker Dewan Negara.

Tidak hairanlah kalau pelanggan utama terminal baru itu, Air Asia Berhad mempertikaikan kesediaan dan keselamatan terminal yang dijadualkan beroperasi pada 2 Mei ini. Media massa, antara lain melaporkan keretakan landasan dan apron serta kesediaan sistem bagasi.

Dalam suasana di mana negara kita dilanda bala (ujian) demi bala – daripada kejadian alam (kemarau, jerebu dan kekurangan air) kepada kehilangan kapal terbang dan penculikan pelancong – kita wajib berhati-hati sebelum membuka KLIA2.

Ada orang kata bukan bala lagi, tapi sudah sampai peringkat pembalasan.

Bayangkan apa akan terjadi kepada imej kita sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini atau masalah teknikal besar di terminal baru itu.

Kita wajib ingat, hari ini genaplah sebulan kehilangan misteri pesawat MH370 dan kalau tidak kerana bantuan negara-negara sahabat, kita masih ternganga dan terpinga.

Wajib Siasat Kelewatan KLIA2

Kembali kepada kontroversi KLIA2, saya masih ingat betapa sukarnya memindahkan operasi dari Lapangan Terbang Subang ke KLIA pada tahun 1998.

Kebetulan saya tiba dengan penerbangan pertama Cathay Pacific dari Hong Kong di KLIA pada hari pertama operasinya.

Kita mengalami kelewatan yang panjang untuk keluar dari pesawat dan mengambil bagasi. Saya menulis mengenai pengalaman saya itu dan disindir pada hari berikutnya sebagai tidak patriotik.

Dalam hal kelewatan dan pergandaan kos KLIA2, kita wajib menuntut agar penyiasatan rapi dan bebas dilakukan ke atas pihak-pihak yang terbabit, termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Malaysia Airports Holdings Berhad dan kontraktor utama.

Mesti ada pihak yang tidak cekap, tidak teliti dan tidak telus sebaliknya korup sehingga berlaku kelewatan, pergandaan kos dan mutu kerja yang dipertikaikan.

Kita tidak memilih kerajaan, membayar cukai dan mematuhi undang-undang untuk diperkotak-katikkan oleh orang yang kita beri mandat dan kepercayaan. Barang dijauhkan malapetaka dan musibah seterusnya.


A KADIR JASIN
http://kadirjasin.blogspot.com

tranungkite

No comments:

Post a Comment