Isu kandungan babi (porcine) dalam coklat kegemaran ramai Cadbury menjadi polemik negara buat seketika. Ia menjadi gempar dengan ramai pihak membangkitkan kemarahan kerana ianya telah dijual berleluasa dan dimakan oleh orang ramai tanpa pemantauan sehinggalah akhirnya pendedahan oleh kerajaan baru-baru ini.
Ada cadangan beberapa pihak yang keterlaluan, terkeluar dari garis Islam dan menimbulkan rasa tidak senang dalam masyarakat termasuk mahu membakar kilang Cadbury Confectionery (M) Sdn Bhd.
Namun begitu Cadangan Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad supaya tindakan tegas diambil terhadap syarikat Cadbury dilihat agak wajar, pertengahan dan boleh diambil perhatian.
Tindakan tegas ini amat penting sebagai suatu pengajaran berharga buat syarikat terbabit dan mana-mana syarikat lain agar mengambil sikap berhati-hati dalam menyediakan makanan mereka.
Sikap sambil lewa dengan tidak memerhatikan kandungan makanan sehingga bahan terlarang ada dalam makanan dianggap sebagai menipu.
Perbuatan ini adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak boleh diterima khususnya bagi umat Islam.
Bagi saya, syarikat terbabit telah melakukan suatu penyelewengan kerana berniat jahat bagi memastikan darah daging umat Islam tidak suci kerana memakan makanan yang haram kandungannya.
Perbuatan ini dianggap sebagai khianat atau sabotaj dan menutup operasi syarikat adalah hukuman paling setimpal atas perbuatan mereka.
Tindakan menyita atau menutup syarikat terbabit buat tempoh tertentu adalah paling wajar dan bersesuaian memandangkan tindakan yang sama dibuat terhadap premis-premis yang tidak mematuhi syariah dalam menyediakan makanan termasuk pengusaha bukan Muslim, premis kotor dan makanan tidak halal disediakan terhadap pembeli.
Isu kandungan halal dan haram dalam makanan perlu menjadi perhatian yang serius pihak Jakim dan Kementerian Kesihatan.
Oleh kerana terlalu banyak produk yang dijual di pasaran terbuka, maka pemantauan yang ketat dan kerap perlu dibuat bagi memastikan produk makanannya benar-benar menepati piawaian dan standard halal yang ditetapkan.
Dalam hal ini, bagi mengelakkan polemik yang lebih besar dan sebagai pengajaran bersama, produk keluaran syarikat tempatan perlu menjadi pilihan utama bagi rakyat berbanding produk syarikat luar negara kerana pemantauan terhadap pengeluaran produk ini mudah dibuat manakala pengusahanya memahami budaya dan kehendak masyarakat tempatan.
Namun begitu, pemantauan ketat dengan pemeriksaan berkala, ujikaji makmal yang kerap dan menyediakan pegawai syariah juga perlu dilakukan supaya tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku di kemudian hari.
Bagi umat Islam pula, sudah tiba masanya produk keluaran pengusaha dan syarikat Muslim mendapat tempat di hati mereka.
Produk syarikat atau pengusaha Muslim tidak kurang hebat dari segi kualiti, rasa dan sifatnya. Selain halal, ia juga dapat membantu mengembangkan produksi dan ekonomi umat Islam di negara ini.
Kerajaan pula perlu meletakkan polisi agar syarikat keluaran Muslim dan pengusaha tempatan diberi tempat yang meluas di pasaraya mega dan di pasaran terbuka agar mereka juga menjadi pilihan pengguna di negara ini.
Penulis ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
detikdaily
No comments:
Post a Comment