Pesanan Panaja

Wednesday, October 14, 2015

K’jaan kesan alkohol di sirap Paracetamol Royce Pharma



Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan mengarahkan syarikat Royce Pharma Sdn Bhd menarik balik sirap Paracetamol 120mg/5ml di pasaran kerana didapati mengandungi alkohol.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi kementerian itu Datuk Eisah A Rahman berkata kementerian telah mengarahkan syarikat tersebut memanggil balik semua produk berkenaan di pasaran dan fasiliti yang terbabit.


Kementerian itu dalam surat tawaran telah menetapkan spesifikasi bahawa produk itu tidak sepatutnya mengandungi alkohol, dan syarikat itu dalam membuat tawaran ubat tersebut kepada kementerian itu telah tidak menyatakan pada label dan sisip bungkusan produk mereka mengenai kandungan alkohol, katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kerana syarikat itu tidak menyatakan pada label dan sisip bungkusan produk mengenai wujudnya alkohol dalam ubat tersebut, maka pihak kementerian telah menerima tawaran syarikat tersebut untuk membekalkan produk itu.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati produk paracetamol itu mengandungi alkohol tetapi tidak dinyatakan pada label dan sisip bungkusan," katanya.

Bagaimanapun, Eisah berkata produk itu telah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), dan didapati mematuhi keperluan kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

"Orang awam tidak perlu bimbang kerana walaupun ia mengandungi alkohol dalam had yang dibenarkan, tiada isu keselamatan dilaporkan," katanya.

Beliau juga menyarankan pengguna supaya sentiasa menyemak maklumat label dan sisip bungkusan produk dan memilih produk yang sesuai yang diperlukan.

"Pengguna boleh menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM menerusi talian telefon 1800886772 atau emel npcc@moh.gov.my untuk keterangan mengenai ubat-ubatan," katanya.

- Bernama


No comments:

Post a Comment