Pesanan Panaja

Monday, January 6, 2014

Mufti dan Bughah : Bagaimana Memahaminya?



[1]. Mufti adalah sebuah institusi yang terpandang dalam masyarakat. Peranannya selain mengeluarkan fatwa untuk merungkai kekusutan ummah dalam permasaalah agama, mufti juga bertanggungjawab membantu untuk menyatukan ummah, mendidik dan membimbing mereka kearah Islam agama yang Indah ini melalui fatwa dan pengarahan semasa dari Jabatan Mufti.







Sementara suara Mufti adalah fatwa yang didengari oleh masyarakat ummat Islam, Mufti selayaknya bijak dan tepat dalam mengeluarkan fatwa tersebut. Tentu sahaja rujukannya ialah Al Quran dan Sunnah serta lampiran bukti dan maklumat yang lengkap dan tepat. Bukan merujuk kepada blogger atau media terbuka yang tiada wibawa dan komitmen taqwa yang tinggi.

[2]. Sementara Definisi "Bughah" (Penderhaka/ Pemberontak) pula adalah seperti berikut :
"Bughah" mengikut istilah syara' ialah segolongan umat Islam menentang dan menderhaka kepada Ulil Amri , iaitu pemerintah/ kerajaan adil yang menjalankan hukum-hukum syari`at Islam.
Ustaz Dr. Mustafa Dib Bugha menjelaskan bahawa "Bughah" merujuk kepada sekumpulan ummat Islam yang keluar dari ketaatan pemimpin yang benar dan adil, yang telah dipilih umat Islam.
Golongan tersebut juga enggan menunaikan kewajipan yang sepatutnya ke atas mereka, bahkan memerangi ummat Islam yang lain disebabkan ta’wil yang berbeza dan mendakwa bahawa kebenaran di pihak mereka.
Antara pandangan yang turut masyhur di kalangan ahli-ahli feqah adalah sebagaimana berikut :

هُمْ مُخَالِفُوا الإِمَامِ بِخُرُوجٍ عَلَيْهِ وَتَرْكِ الاِنْقِيَادِ أَوْ مَنْعِ حَقٍّ تَوَجَّهَ عَلَيْهِمْ بِشَرْطِ شَوْكَةٍ لَهُمْ وَتَأْوِيلٍ وَمُطَاعٍ فِيهِمْ

"Mereka (bughah) adalah golongan yang menyalahi imam dengan keluar atasnya, dan meninggalkan ketaatan atau mencegah diri dari melakukan kewajipan yang wajib dilakukan oleh mereka; dengan syarat mereka mempunyai ketenteraan dan mempunyai ta’wil dan mereka ada orang yang ditaati."
Antara ayat yang menjelaskan mengenai "Bughah" ialah Firman Allah dalam surah al Hujurat ayat 9 :

وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ فَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

"Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

[3]. Syarat "Bughah"

Persoalan yang timbul, apakah setiap "Bughah" boleh diperangi dan dihalalkan darah mereka? Jika diteliti, Ulamak Islam meletakkan beberapa syarat sebelum dibenarkan untuk memerangi golongan Bughah ini. Antara syaratnya ialah :
Mestilah mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk menentang atau mengancam pemerintah yang adil dan benar. Kekuatan ini, mungkin dari segi jumlah ahli yang ramai atau senjata.
Mereka juga telah keluar dari penguasaan/ pentadbiran negara lalu membentuk pemerintahan/ kerajaan yang lain dan melantik Imam/ Ketua yang lain pula untuk ditaati.
Mempunyai ta’wil (keraguan) yang menghalalkan sebab untuk mereka memberontak. Jika mereka tiada takwilan yang jelas untuk disandarkan, maka mereka tidak dihukum sebagai pemberontak.
[4]. Menghukum sesuatu kumpulan atau kelompok sebagai "BUGHAH" memerlukan penelitian dan kajian yang terperinci. Sikap bermudah-mudah dalam meletakkan sesuatu hukum akan mencalarkan imej mufti dan sekaligus memperlihatkan sudut yang kurang baik terhadap agama Islam.

[5]. Sayugianya jua, sebelum mufti berfatwa mengenai "bughah" yang dihukumkan ke atas rakyat, terlebih dahulu mesti ada fatwa dari mufti mengenai kedudukan sebuah kerajaan yang enggan melaksanakan syariat sebagai dasar, peraturan dan undang-undang negara. Mufti tidak boleh memejam sebelah mata kanannya terhadap kedegilan kerajaan untuk patuh pada syariat dan menjegil sebelah mata kirinya terhadap rakyat yang bangkit secara aman untuk menolak kerajaan yang menindas atau menginaya mereka.

Hayati Firman Allah :

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَن يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

"Maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan." (Surah Al Baqarah ayat  85)

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat.
Mencorak Masa Depan

detikdaily

No comments:

Post a Comment