Pesanan Panaja

Monday, July 6, 2015

Ekonomi, GST dan apa lagi?


GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dicanangkan sebagai reformasi percukaian di Malaysia. Bukan sekadar reformasi percukaian, tetapi harga barang juga naik.

Alasan menteri bagi menjelaskan kenaikan harga amat mudah ibarat melepaskan batuk di tangga – peniaga yang menaikkan harga. Jika peniaga yang disalahkan kerana menaikkan harga wewenangnya, maka mengapa harga produk dan perkhidmatan beberapa agensi kerajaan mahupun yang berkaitan kerajaan juga turut naik harga kerana GST?




Akibat rasionalisasi, subsidi bahan api RON 95 dan diesel juga dimansuhkan. Maka ramai yang mengeluh sinis, ini bukan “rasionalisasi” tetapi “tidak rasional”.
Menyentuh soal bahasa  – sedikit melencong kerana sudah terlajak berbicara – istilah “rasionalisasi” di dalam ekonomi ini tidaklah terkait dengan perkataan “rationality” yang terkait istilah “reason”, tetapi ia lebih terkait dengan istilah “ratio” atau nisbah.
Justeru itu istilah wajar “rasionalisasi” dimaksudkan dengan “penisbahan semula”, dalam konteks Malaysia, penisbahan semula ini memang tidak rasional (baca: tidak masuk akal).

Bukan sahaja bahan api, malah kadar tol di lebuhraya juga dikhabarkan akan naik supaya kerajaan tidak perlu lagi menanggung subsidi berjumlah bilionan ringgit.

Baru-baru ini dicanangkan pula berita tentang kemasukan 1.5 juta pekerja dari Bangladesh. Untuk apa sini semua? Pekerja asing yang sedia ada di Malaysia sudah pun jutaan orang, apakah ada maksud lain tentang kemasukan 1.5 juta orang ini?

Ya kita tahu, secara ekonominya (faktor duit semata-mata tanpa mengambil kira faktor sosial dan lain-lain), kemasukan pekerja luar ini boleh menjimatkan kos penghasilan. Walaupun aliran matawang keluar akan meningkat, tetapi pekerja asing ini tidak akan menuntuk hak berpersatuan (kesatuan sekerja) dan pihak kerajaan tidak akan bersusah payah untuk menanggung mereka di masa hadapan dengan pembiayaan kesihatan dan sebagainya.

Justeru itu, ini semua apa maksudnya? Sepatutnya hasil kerajaan akan meningkat dan ekonomi akan lebih berdaya saing. Tetapi malangnya, perkara yang sebaliknya pula berlaku.

Nilai Ringgit jatuh, hutang kerajaan makin bertambah, bebanan ekonomi rakyat kian memberat, laporan skandal dunia korporat yang berkaitan kerajaan kian menjadi, mengapa ini semua berlaku?

Tiada keajaiban ekonomi yang berlaku, malahan silap mata pun tidak menjadi. Apa sudah jadi?

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/ekonomi-gst-dan-apa-lagi-rizuan-abdul-hamid#sthash.G5Wh1IlC.dpuf 


No comments:

Post a Comment