Pesanan Panaja

Monday, July 6, 2015

Ramadan bulan perlawanan


INI bulan perlawanan buat mahasiswa. Perlawanan menentang nafsu kelembaban. Nafsu yang meniadakan rasa mahu melawan kezaliman.Nafsu yang mendiamkan mahasiswa dari berkatakata di hadapan pemerintah yang zalim.

Nafsu yang menjolokjolok untuk rasa tiada apaapa yang berlaku, pulang pula ke kampung berbuka dengan juadah rakus dari bazar. Sedang ada berbelas mahasiswa mendada ancaman.




Syaitan sudah tiada untuk menghasut kita melihat kezaliman dan penindasan tanpa rasa. Hanya yang ada nafsu durjana. Kita juga bisa durjana jika masih menari-nari mengikut paluan irama nafsu bertajuk DIAMLAH MAHASISWA.
Apa guna kita bernostalgia dan beromantisme dengan kejayaan Perang Badar pada 17 Ramadan tahun Kedua Hijrah (17 Mac 624M) sedang kita tertewas sebelum bermula perang melawan pemerintahan yang zalim. Bangganya kita dengan sejarah.

Adakah Rasul yang menjadi panglima Perang Badar itu bangga dengan kita yang hanya berdiam diri dengan kezaliman terhadap UKM13 dan UIAM2 di bulan Ramadan ini?

Fikirku, peristiwa perlawanan ini tertonjol untuk sematkan jiwa melawan dalam diri kita, agar mahasiswa turun melawan.

Semasa dalam tempoh memerintah Madinah, umat Islam tidak lagi berdiam bila diserang.

Namun, mengapa kita berdiam bila pentadbiran universiti menyerang mahasiswa, sedangkan kedua-dua universiti itu kita yang kuasai.

Semangat sirah mana kita ambil. Bukan mahasiswa biasa-biasa yang diserang tetapi pemimpin nombor wahid dalam universiti. Seorang Presiden Student’s Representative Council (SRC) dan seorang Presiden MPP. Mereka dipilih secara majoriti oleh mahasiswa.

Namun, ke manakah majoriti tersebut? Di mana kalian menyorok? Sejarah Universiti Malaya (UM) menyaksikan mahasiswa berjaya membuat rampasan kuasa terhadap pentadbiran universiti sekitar tahun 1970-an. Aksi itu sebagai reaksi terhadap penangkapan pimpinan mahasiswa ketika itu.

Jauhnya gerakan dahulu dengan kita. Usah bicara soal rampas kuasa pentadbiran universiti, untuk turun bersolidariti pun kita masih belum mampu.

Kata Dr Burhanuddin Al-Helmy, sejarah akan mengulangi riwayatnya.

Aku mula sangsi dengan kata-kata ini, asyik riwayat mahasiswa ditindas sahaja yang berulang.

Riwayat perlawanan dari mahasiswa belum berulang.

Justeru, bulan Ramadan ini patut kita mulakan kerana ini sebuah bulan perlawanan. Jika dalam bulan ini kita masih tidak juga mahu melawan, bulan apa lagi yang kita tunggu? Semoga kita dapat menempuhi Ramadan dengan jiwa penuh dengan semangat perlawanan!

» Penulis merupakan Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan penuntut di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

No comments:

Post a Comment