Pesanan Panaja

Monday, July 6, 2015

Mudarat rokok ketika puasa


Menurut beliau, berbuka puasa dengan terus menghisap rokok dengan banyak tanpa makan atau minum terlebih dahulu amat berbahaya kerana badan mereka dalam keadaan memerlukan air dan tenaga setelah seharian suntuk berpuasa. 

Ketika waktu berbuka puasa, badan memerlukan cecair, glukosa dan oksigen. Perbuatan merokok dikatakan boleh menyebabkan pengecutan salur darah lalu menghalang pengaliran oksigen.
Beliau juga mendakwa merokok dalam keadaan berlapar boleh menyebabkan darah memekat lalu menyebabkan pelbagai komplikasi lain seperti arteri tersumbat dan darah tinggi.




Tidak menafikan kenyataan tersebut, Dr. Amer berkata, tabiat itu boleh memudaratkan perokok terutama mereka yang mengalami atau berisiko masalah jantung.

"Merokok terlalu banyak ketika berbuka puasa boleh menyebabkan sakit jantung kerana tembakau mempunyai perangsang dan orang yang ada risiko sakit jantung boleh mendapat kejutan jika tidak makan atau minum terlebih dahulu," terangnya.

Selain merbahaya ketika puasa, rokok itu sendiri mempunyai 1,001 keburukan dari segi fizikal dan mental, ujar Dr. Amer.

Kandungan asap rokok termasuk bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic) dan gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di ‘kamar gas maut' bagi pesalah yang menjalani hukuman mati.

Nikotina hanya menyebabkan ketagihan, tetapi beratus-ratus kandungan bahan kimia beracun lain di dalam sebatang rokok yang memberi pelbagai kesan negatif kepada badan.

"Bukan sahaja masalah biasa yang kita dengar seperti masalah mulut berbau, penyakit lelah dan serangan jantung, malah pelbagai masalah lain seperti diabetes dan ketidaksuburan berpunca daripada merokok.

"Mengikut kajian, merokok juga boleh menyebabkan kemurungan dan masalah dari segi kegelisahan. Ini kerana nikotina adalah satu perangsang. Walaupun ada elemen menenangkan, perangsang itu boleh menyebabkan kegelisahan.

"Dari segi kemurungan, kajian menunjukkan orang merokok dapat kemurungan lebih tinggi daripada orang yang tidak merokok," terangnya dari suduk psikologi.

Selain itu tambah Dr. Amer, pelbagai masalah lain akibat rokok selain kesihatan termasuk isu kebakaran.

"Contohnya, cuaca panas boleh menyebabkan kebakaran dari puntung rokok yang dibuang.

"Puntung rokok yang dibuang sewenang-wenangnya boleh mencemarkan alam sekitar," ujarnya.

Punca

Mengikut kajian, kebanyakan orang merokok berpunca daripada pengaruh rakan-rakan, selain mahu bereksperimen.

Menurut Dr. Amer, selalunya mereka mula merokok seawal usia bawah 20 tahun.

Katanya, jika mengikut kajian GATS, majoriti perokok mula merokok di usia 17 tahun.

"Namun kami ada juga berjumpa dengan pesakit yang menerima terapi berusia seawal 11 tahun. Sangat jarang perokok mula merokok selepas usia 25 tahun.

"Selain itu, ada juga yang merokok kerana terpengaruh dengan apa yang digambarkan dengan merokok iaitu dewasa dan matang. Ramai perokok awalnya kerana terpengaruh dengan orang dewasa yang dilihat sebagai role model untuk mereka kelihatan dewasa," terangnya.

Menurut Dr. Amer, apa yang membuat perokok ketagih adalah kandungan nikotina di dalam rokok. Jelasnya, nikotina bertindak mempengaruhi bahagian otak yang terlibat dengan sistem ganjaran.

Apa yang berlaku adalah otak berubah sistemnya kerana pengambilan nikotina dan apabila individu mahu berhenti merokok, otak tidak membenarkan ia berlaku, lalu pesakit akan mendapat simptom penarikan (withdrawal symptom).

Simptomnya termasuk berpeluh, jantung berdegup laju, cepat marah, mood tidak tentu, rasa tidak selesa dan banyak lagi. Ia boleh menjadi teruk lalu menjejaskan proses untuk berhenti merokok jika dilakukan tanpa bantuan.

Cold turkey

Pendekatan cold turkey iaitu perbuatan berhenti terus daripada merokok tanpa bantuan apa-apa dilihat sering dipilih untuk berhenti merokok namun kaedah itu sering menemui kegagalan.

Ujar Dr. Amer, kadar kejayaan dengan cold turkey hanya satu hingga dua peratus sahaja, iaitu daripada 100 orang yang hendak berhenti tanpa bantuan sama ada dari segi bantuan farmakoterapi atau psikologi, hanya seorang atau dua orang sahaja yang berjaya.

"Jika dengan bantuan ubat terapi gantian atau ubat-ubatan, kadar kejayaan lebih tinggi iaitu antara 20 hingga 50 peratus. Kalau digabung dengan sokongan daripada keluarga terutama isteri dan anak-anak, kejayaan berhenti rokok lebih tinggi iaitu sehingga 70 peratus," ujarnya.

Mereka yang melakukan cold turkey selalunya akan berasa resah, berdebar-debar dan berpeluh kerana kekurangan nikotina.

Cara tersebut sering tidak berjaya akibat pengaruh rakan-rakan yang turut merokok.


No comments:

Post a Comment