Pesanan Panaja

Showing posts with label Mini Parlimen. Show all posts
Showing posts with label Mini Parlimen. Show all posts

Friday, May 9, 2014

Pak Cik Jamal insan kecil berjiwa besar



BELIAU seorang insan yang berjiwa besar walaupun fizikalnya kecil. Kental sema­ngatnya dalam membantu perkembangan kanak-kanak. Beliau berjaya mempengaruhi pemikiran sebahagian besar rakyat menerusi program berunsurkan pendidikan suatu ketika dahulu.

Sedari awal menjejak kaki ke dunia seni, Allahyarham Jamal Muhamad atau lebih dikenali sebagai Pak Cik Jamal ialah legenda dalam dunia penyiaran yang tidak harus dilupakan.

Kehebatan, semangat dan kerja keras beliau yang sinonim dengan rancangan kanak-kanak di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mini Parlimen perlu diabadikan pemikir pada hari ini.
Perjuangannya kekal dengan matlamat utama mahu mencipta sebuah rancangan televisyen bermaklumat bagi membina sikap positif kanak-kanak.

Ya. Itulah yang diakui. Tanggungjawab mengasuh kanak-kanak menjadi seorang yang berkarisma bukanlah mudah. Apa lagi melatih mereka untuk bertutur dengan fasih menggunakan bahasa yang baik. Semua itu memerlukan kesabaran. Jamal punya sikap itu.