BELIAU seorang insan yang berjiwa besar walaupun fizikalnya kecil. Kental semangatnya dalam membantu perkembangan kanak-kanak. Beliau berjaya mempengaruhi pemikiran sebahagian besar rakyat menerusi program berunsurkan pendidikan suatu ketika dahulu.
Sedari awal menjejak kaki ke dunia seni, Allahyarham Jamal Muhamad atau lebih dikenali sebagai Pak Cik Jamal ialah legenda dalam dunia penyiaran yang tidak harus dilupakan.
Kehebatan, semangat dan kerja keras beliau yang sinonim dengan rancangan kanak-kanak di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mini Parlimen perlu diabadikan pemikir pada hari ini.
Perjuangannya kekal dengan matlamat utama mahu mencipta sebuah rancangan televisyen bermaklumat bagi membina sikap positif kanak-kanak.
Ya. Itulah yang diakui. Tanggungjawab mengasuh kanak-kanak menjadi seorang yang berkarisma bukanlah mudah. Apa lagi melatih mereka untuk bertutur dengan fasih menggunakan bahasa yang baik. Semua itu memerlukan kesabaran. Jamal punya sikap itu.