Pesanan Panaja

Thursday, February 13, 2014

Definisi Mahar



Mahar berasal daripada perkataan arab yang mana dalam al-Quran istilah mahar ini disebut dengan perkataan al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-‘aqd. Menurut istilah syarak pula mahar ialah suatu pemberian yang wajib diberikan oleh pihak suami kepada isteri dengan sebab penikahan. Mahar juga dikenali dengan nama mas kahwin.

Berdasarkan kepada tafsiran Akta Undang-undang Keluarga Islam wilayah persekutuan telah menyatakan bahawa ‘mas kahwin’ bermaksud pembayaran perkahwinan yang wajib dibayar di bawah hukum Syarak oleh si suami kepada si isteri pada masa perkahwinan di akad nikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut hukum Syarak dapat dinilai dengan wang.





Mas kahwin boleh dalam berupa wang atau pun suatu yang ada nilai dan bermanfaat seperti emas, duit, pakaian, bangunan, pekerjaan, perkhidmatan dan sebagainya. Mas kahwin boleh dibayar oleh pihak lelaki kepada pihak isteri dalam bentuk tunai ataupun hutang bergantung kepada persetujuan dari kedua-dua belah pihak   .

Kadar mas kahwin tidak ditetapkan secara tetap dalam syariat Islam. Mas kahwin bergantung kepada uruf, iaitu bergantung kepada keadaan semasa sesuatu tempat dan masyarakat. Apa yang terbaik adalah kadar mas kahwin ditentukan melalui persetujuan dan budi bicara pihak lelaki dan perempuan. Apapun kadar mas kahwin juga perlu berdasarkan kemampuan bakal suami dan kedudukan isteri. Bagaimanapun Islam menganjurkan kesederhanaan dalam kadar mas kawin.

Perbezaan yang sangat ketara di antara mas kahwin dengan hantaran ialah mas kahwin adalah wajib serta ada dinyatakan dalam Islam akan tetapi hantaran pula sesuatu yang hanya sekadar adat resam. Sebagai contoh kalau dilihat adat negeri Selangor hantaran dianggap sebagai hadiah yang boleh dalam bentuk wang tunai atau pun barangan. Walaupun begitu hantaran mempunyai pemahaman yang berbeza mengikut adat setempat sebagai contoh di kedah dan pulau pinang hantaran akan diberikan kepada ibu bapa bakal pengantin dan terserahlah kepada mereka mahu menggunkanya atau tidak. Apa yang berlaku di Kelantan dan Terengganu pula sangat berbeza  kerana hantaran di anggap sebagai mas kahwin dan ianya akan menjadi milik muthlak pihak isteri.

Duit hantaran hanyalah adat di dalam perkahwinan melayu yang telah di amalkan sejak zaman berzaman Manakala Mas Kahwin adalah kewajipan bagi pihak suami menyediakan bagi pihak isteri.
Mahar atau mas kahwin boleh dibahagikan kepada dua iaitu Mahar Misil dan Mahar Musamma.

Mahar Misil ialah mahar yang tidak ditentukan kadar, jenis dan cara pembayarannya dalam akad. Setelah berakad nikah pun isteri berhak bagi mendapatkan mahar misil juka berlaku persetubuhan. Mahar Misil layak diberikan kepada si isteri sekiranya berlaku kematian kepada si suami walau pun tidak berlaku persetubuhan. Isteri hanya boleh diberi mut’ah sahaja sekiranya perceraian sebelum berlaku persetubuhan.
Mahar Musamma pula ialah mas kahwin yang telah ditentukan kadarnya dan disebut dalam akad serta dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Persetujuan ini meliputi jumlah dan jenisnya sama ada boleh secara tunai atau hilang serta boleh diserahkan semasa akad atau selepasnya.

Selepas akad nikah dan berlaku persetubuhan, suami wajib menyerahkan semua mahar musamma yang telah dipersetujui kepada isteri. Namun suami hanya perlu menyerahkan separuh mas kahwin itu sahaja jika berlaku perceraian sebelum mereka bersetubuh. Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam  firman-Nya yang bermaksud:

“Dan jika kamu ceraikan mereke sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar mas kahwin untuk mereke, maka mereka berhak mendapat separuh dari mas kahwin yang telah kamu tetapkan itu”
(Surah al-Baqarah, 1:237)

Walaupun begitu suami tidak wajib membayar apa-apa pun mas kahwin kepada isteri jika berlaku perceraian antara mereka jika disebabkan faktor isteri. Antara isteri yang murtad atau perceraian di sebabkan permohonan fasakh atau khuluk.

 Dalil al-Quran dan Al-Sunnah berkaitan dengan mahar
Terdapat banyak dalil-dalil yang mewajibkan mahar kepada isteri dan di antaranya firman Allah s.w.t. dalam sudrah al-Nisa’ ayat 4 yang membawa maksud:

 “ Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan ( isteri ) akan mas kahwin mereka itu sebagai pemberian ( yang wajib ). Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnnya, maka makanlah ( gunakanlah ) pemberian tersebut sebagai nikmat yang baik lagi lazat
Firman Allah Ta’ala dalam surah al-Nisa ayat 24 yang bermaksud:

“ Mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya ( setelah dia menjadi isteri kamu ) maka berikanlah mereka maharnya ( ajr ) sebagai satu ketetepan yang difardhu (diwajibkan oleh Allah Taala )” 

Terdapat juga dalil-dalil dari al-Sunnah
Carikanlah (sesuatu yang boleh dijadikan sebagai mas kahwin) walaupun sebentuk cincin dari besi.
 [Bukhari dan Muslim]
“Sebaik-baik maskahwin itu adalah yang paling senang atau paling rendah”             [Abu Dawud]


Pemberian mahar adalah merupakan lambang kesungguhan terhadap isteri yang mencerminkan kasih dan sayang serta kesediaan suami untuk hidup bersama isteri. Ia juga merupakan penghormatan seorang suami terhadap isteri. Walaupun begitu mahar tidak termasuk dalam rukun nikah atau pun syarat nikah kerana sekiranya pasangan tersebut bersetuju tanpa di tetapkan mahar, penikahan tersebut tetap akan sah akan tetapi si suami diwajibkan membayar mahar misil yang sepadan.

No comments:

Post a Comment