Pesanan Panaja

Thursday, February 13, 2014

Rukun Jual Beli


Rukun akad adalah satu unsur yang sangat penting kerana ia diibarat seumpama tiang kepada sebuah rumah dan rumah tersebut tidak akan kukuh sekiranya tiangnya tiada. Begitulah yang diibaratkan seperti akad jika ketiadaan rukun maka akad tidak akan terbentuk. Pada pandangan Hanafi, Rukun akad hanyalah satu sahaja iaitu ijab (tawaran) dan qabul (penerimaan).

Jumhur fuqaha’ selain Hanafi iaitu Maliki, Syafii dan Hanbali menyatakan bahawa rukun akad ada tiga dan Rukun-rukun tersebut adalah:




1. Ijab dan Qabul

Ijab dan qabul berperanan sebagai sighah akad iaitu ungkapan-ungkapan yang menunjukkan persetujuan dan persepakatan dua pihak yang berkontrak. Para fuqaha  berbeza pendapat dalam memberikan definisi ijab dan qabul.

Sighah akad ialah apa jua cara yang digunakan untuk berakad sama ada berupa perkataan, perbuatan atau sebagainya. Perlu kita fahami bahawa apa yang tersirat dalam hati seseorang tidak akan diketahui oleh orang lain. Ia hanya dapat diketahui jika ia dikeluarkan dalam bentuk perkataan, perbuatan dan sebagainya.

Terdapat hadis Rasulullah s.a.w. mengenai saling merelakan dalam ijab dan qabul yang membawa maksud :

    “…sesungguhnya jual beli hanya sah dengan saling merelakan.”

                                                                                                          (HR. Ibnu Hibban dan Ibnu Majah)


Berakad menggunakan perkataan

Akad ini membawa maksud dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Akad akan sah sekiranya kata-kata yang dikeluarkan oleh pihak yang berakad dapat difahami dengan jelas. Para fuqaha berpendapat apa jua lafaz boleh digunakan ketika berakad dengan syarat setiap perkataan itu dapat difahami dengan jelas.

Sebagai contoh dalam penggunaan lafaz hibah (pemberian percuma/hadiah) dalam akad jual beli. Ahmah berkata “saya hibahkan buku ini kepada awak dengan harga RM20” ianya adalah merupakan akad jual beli kerana pemberian itu disertai dengan bayaran dan bukanlah akad hibah.

Zahirkan maksud dengan tulisan

Apabila dibicarakan tentang tulisan ianya adalah jalan yang terbaik dari secara lisan seperti surat dokumen bertulis dan apa sahaja selagi mudah difahami. Penggunaan tulisan boleh digunakan oleh kedua-dua belah pihak atau pun sebelah pihak sahaja, walaupun mereka mempunyai kemampuan untuk bercakap.Sekiranya penerimaan terhadap sesuatu tawaran yang dibuat melalui surat mestilah dilakukan dengan kadar segera yang munasabah.

Berakad dengan perbuatan

Berakad melalui perbuatan ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu menggunakan bahasa isyarat dan unjuk-menunjuk.

Bahasa Isyarat

Berakad dengan menggunakan bahasa isyarat iaitu dengan cara pergerakkan tangan, kepala ataupun bibir. Sekiranya seseorang itu mampu bercakap, akad tidak akan sah mengikut pandangan Hanafi, Syafie dan Hambali. Sekiranya seseorang itu tidak mampu bercakap dan tidak tahu menulis, akad adalah sah dengan menggunakan bahasa isyarat. Sekiranya tidak mampu bercakap sedangkan berkemahiran dalam menulis, akad adalah sah mengikut pandangan Maliki, Syafi’I, Hanbali dan kenyakkan para fuqaha dan akad jadi tidak sah sekiranya mengikut pandangan Hanafi.

Unjuk-mengunjuk

Berakad secara unjuk-mengunjuk adalah merupakan salah satu dari berakad  mengikut perbuatan. Unjuk-mengunjuk ialah tingkahlaku yang hanya melibatkan perbuatan tanpa melafazkan perkataan. Ianya adalah berbeza berbanding bahasa isyarat kerana tindakan mengambil sesuatu dan memberikanya kepada pihak yang lain.

Contoh yang paling mudah untuk kita fahami ialah seperti kita membeli belah dipasaraya. Kalau dilihat proses pembelian tanpa menggunakan percakapan ataupun lafaz dan apa yang berlaku adalah dalam bentuk tindakan atau perbuatan. Inilah yang dikatakan akad unjuk-mengunjuk kerana masing-masing sudah saling faham memahami.

Berakad cara berdiam diri

Berakad dengan cara berdiam diri bermaksud satu pihak berdiam diri semasa akad jual beli dibuat dan tidak akan melibatkan kedua-dua belah pihak berdiam diri. Terdapat percanggahan pendapat di antara para fuqaha kerana dengan berdiam diri tidak mampu menggambarkan kehendak yang sebenar-benarnya dan  mereka berpandangan dari segi hukum asal iaitu tidak sah berakad dengan cara berdiam diri.

Walaubagaimanapun cara ini boleh digunapakai dalam situasi-situasi yang tertentu dan cara ini hanya boleh dilakukan oleh pihak yang menerima dan bukan kepada pihak yang membuat tawaran. Sebagai contoh, jika suatu harta yang telah diwakafkan kepada pihak tertentu dan pihak tersebut (penerima wakaf) ada semasa akad wakaf dilakukan, maka akad tersebut adalah tetap sah walau penerima wakaf hanya berdiam diri sahaja.

2. Pihak Yang Berakad

Pihak yang berakad adalah merupakan pihak yang membuat tawaran dan ianya adalah orang yang boleh melakukan akad kerana mempunyai kelayakan (al-ahliyyah), kuasa (al-wilayah), perwakilan (al-wakalah) dan bertindak tanpa izin (al-fadalah).

Al-Ahliyyah

Al-ahliyyah bererti kelayakan atau keupayaan dalam melakukan akad pada pandangan syarak. Kelayakan ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu.

1-Kelayakan untuk menerima (Aliyyah al-wujud)

Maksud kelayakan ini ialah untuk menerima hak dan tanggungjawab Syarak dan kelayakan ini akan dimiliki oleh setiap manusia yang hidup tidak kira sama ada dia masih kecil ataupun dewasa, berakal atau sebaliknya serta sihat mahupun sakit. Kelayakan ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu menerima secara sempurna (ahliyyah al-wujud al-kamilah) dan menerima secara tidak sempurna (ahliyyyah al-wujud al-naqisah)

2- Kelayakan untuk melaksana (Ahliyyah al-ada’)

Maksud kelayakan bagi seseorang itu melaksanakan segala hak dan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh syarak. Orang yang memiliki kelayakan ini boleh melakukan akad kerana apabila seseorang itu berakal dan mumayyiz. Mumayyiz ini adalah sangat penting kerana dengan mumayyiz seseorang itu dapat memahami segala tindakan itu adalah baik ataupun sebaliknya. Kelayakan ini terbahagi kepada dua iaitu kelayakan melaksana secara sempurna (ahliyyah al-kamilah) dan kelayakan melaksana secara tidak sempurna (ahliyyah al-ada’ al-naqisah)

Di bawah adalah dalil-dalil yang berkaitan dengan pihak yang layak berakad dan dalil-dalil tersebut ialah :

“Barangsiapa menjual seorang budak yang memiliki harta, maka harta budak itu adalah milik penjualnya, kecuali bila pembelinya mensyaratkan agar harta tersebut menjadi miliknya.”

                                                                                                                (HR. al-Bukhary dan Muslim)


“Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan bagimu.”                                                                                                                                                                                (Qs. an-Nisa': 5)


"... Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang timbul dari kerelaan di antara kamu ..."

                                                                                                                        (Surah An-Nisaa ':29)


 Al-Wilayah

Mengikut Syarak al-wilayah adalah bermaksud kuasa atau mandat yang telah diberikan oleh syarak kepada seseorang bagi menguruskan diri dan harta secara sah. Kelayakan dan kuasa adalah merupakan syarat utama yang patut ada pada seseorang itu apabila hendak melakukan akad.

Kuasa ataupun mandat ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu :

1- Kuasa Terhad (Al-wilayah al-qasirah) yang merupakan kuasa terhad dalam menguruskan diri dan harta sendiri sahaja. Kuasa ini diperolehi apabila seseorang itu baligh, berakal dan cerdik.

2- Kuasa tidak terhad (Al-wilayah al-muta’addiyah) yang merupakan kuasa untuk mengurus diri dan harta orang lain atas sebab-sebab yang tertentu. Kuasa yang tidak terhad ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

-       Kuasa yang diberi oleh syarak dari asal lagi (Al-wilayah al-asliyyah) kerana wujudnya pertalian darah di antara dua belah pihak seperti kuasa ayah ketas anaknya.

-       Kuasa yang diperolehi melalui proses perwakilan (Al-wilayah al-niyabiyyah) yang merujuk kepada kuasa mengurus bagi pihak yang lain dan kuasa ini diperolehi sama ada melalui wasiat ,mahkamah atau individu yang melantik sebagai wakil yang merangkumi kuasa mengurus diri sendiri dan harta orang lain.


Al-Wakalah dan Al-Fadalah

Al-wakalah adalah merupakan pemberian kuasa kepada orang lain untuk menguruskan hal-hal yang berada di bawah kuasanya. Sebagai contoh jika Ahmad melantik Ali untuk menjual tanahnya dengan harga tertentu. Oleh kerana perlantikan tersebut maka Ali mempunyai kuasa dalam menguruskan harta Ahmad.

Pemberian kuasa dalam menguruskan harta tersebut hendaklah memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat al-wakalah yang merangkumi syarat pemberi kuasa wakil, syarat wakil dan syarat perkara yang diwakilkan. Al-wakalah terbahagi kepada empat iaitu al-wakalah al-khassah, al-wakalah al-‘ammah, al-wakalah al-muqayyadah dan al-waklah al-mutlaqah.

Al-fadalah pula membawa maksud satu tindakan yang dilakukan oelh seseorang terhadap harta orang lain tanpa mendapatkan kuasa atau izin terlebih dahulu daripada pemiliknya. Hanafi dan Maliki berpendapat sebarang akad yang telah dilakukan tanpa mendapat izin pemilik harta adalah bergantung kepada keputusan sama ada bersetuju atau sebaliknya. Jika pemilik bersetuju maka akad itu sah, jika pemilik tidak bersetuju maka akad tersebut terbatal.

Pada pendapat Syafie dan Hambali jika keadaan itu berlaku maka akad tersebut adalah dikira batal walaupun pemilik harta bersetuju dan member izin selepas akad dilakukan.


3. Subjek Akad

Subjek akad ialah sasaran utama yang berlaku ke atasnya akad dan sebagai contoh seperti barang jualan dan harga jualan. Manakala dalam sewaan pula manfaat dan bayaran adalah merupakan subjek akad. Subjek akad adalah berbeza mengikut jenis akad, ada yang berbentuk material, manfaat, kerja atau khidmat. Terdapat banyak syarat subjek akad dan diantaranya ialah :

1- Subjek akad hendaklah suatu yang tidak berlawan dengan kehendak itu sendiri dan juga hukum syarak kerana setiap akad menpunyai tuntutan tertentu dan sesuatu itu tidak sah sekiranya subjek akad tidak selaras dengan kehendak akad.

Percanggahan subjek akad dengan kehendak akad boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu benda yang termasuk benda yang diharamkan dalam Islam seperti arak, babi dan seumpamanya dan sifat benda kerana tidak bersesuaian dengan hukum akad tertentu seperti benda yang cepat rosak atau tidak boleh digadai.

2- Benda yang berkenaan ada semasa akad dilakukan dan ini adalah bukan syarat mutlak kerana terdapat perbezaan pendapat daripada para fuqaha dan persepakatan pendapat mengenai sesuatu yang mustahil akan wujud tidak boleh dijadikan subjek akad.

Jika subjek dalam bentuk manfaat syarat in tidak perlu kerana kebiasaan manfaat itu sendiri tidak wujud sekali tetapi akan datang kemudian. Seandainya subjek akad dalam bentuk material, terdapat perbezaan pendapat dikalangan para fuqaha.

3- Kedua-dua pihak mempunyai maklumat lengkap mengenai subjek akad yang bermaksud jika pihak yang berakad tidak tahu apa yang dijadikan subjek akad, maka akad tersebut adalah tidak sah kerana subjek boleh dilihat, diteliti atau diselidiki sendiri.

4- Subjek akad boleh diserahkan kepada pihak yang berkenaan pada masa yang dipersetujui. Syarat ini dipersetujui oleh semua fuqaha kerana ia melibatkan akad yang ada balasan. Subjek akad memang manjadi satu tuntutan akad kerana penjual mesti menyerahkan barang kepada pembeli dan pembeli hendaklah menyerahkan harga jualan



No comments:

Post a Comment