Pesanan Panaja

Thursday, July 2, 2015

Duit Ringgit makin lemah, kesannya kepada kita?


Semalam saya menukar duit ringgit kepada USD atas urusan business dan ternyata untuk menukar 1 Dollar Amerika, saya perlu tukarkan dengan 3.79 Ringgit. Memang saya tahu setiap perkara ada positif dan negatifnya tetapi di dalam perkara berkaitan lemahnya Ringgit dibandingkan dengan satu mata wang yang banyak mempengaruhi urusan kewangan dan ekonomi antarabangsa, ia memberikan kesan kepada kos import pelbagai barangan dan makanan kita masuk ke Malaysia, ia lebih mempengaruhi kos harga barangan di mana akan menyebabkan pengimport akan terpaksa menaikkan harga pelbagai jenis barangan





Harga susu bayi telah dinaikkan harga beberapa kali. Harga minyak mengikut harga pasaran dan mengikut pertukaran mata wang kita dibandingkan dengan US Dollar.

Saya faham akan ada orang kata setiap perkara itu ada kesan positif dan negatifnya, tetapi analoginya begini. Jika anak anda telan dadah anda marah tak? Pasti tidak jika yang ditelannya adalah ubat sakit kepala. Tetapi kesan dadah di dalam ubat tersebut pada satu masa akan merosakkan sistem badan kita apatah lagi jika diambil berlebihan.

Maksudnya ialah setiap sesuatu perkara itu bila ianya berlaku, kita perlu nilaikan apakah kesannya kepada kita dan kepada lebih ramai terutamanya rakyat.

Lemahnya Ringgit against US Dollar mungkin ia menarik ramai pelancong ke Malaysia tetapi impak itu dibandingkan dengan harga barangan dan bahan makanan seluruh lapisan rakyat Malaysia serta kesan kepada kos bahan pembinaan yang banyaknya diimport? Kos bahan makanan yang banyak diimport? Tapi mana kesan lebih banyak kepada kita? Saya biasa hidup susah dahulu dan saya sehingga hari ini mengajak anak bangsa saya membina perniagaan kerana saya tahu, ia salah satu cara pantas untuk anda mempunyai tahap kewangan yang lebih baik (Jika berniaga dengan ada ilmu dan strategi yang betul).

Saya ingat lagi kesan ekonomi krisis pada tahun 1998 apabila Ringgit lemah sehingga tahap 1 Dollar = 3.80 - 4.00 ketika itu. Banyak syarikat gulung tikar termasuk beberapa kawan saya kerana kos mereka import barangan meningkat secara mendadak. Harga saham menjunam dan ramai orang dibuang kerja. Saya agak trauma juga ketika itu kerana saya juga kerugian banyak duit dengan kejatuhan harga saham ketika itu. Harga barangan yang diimport meningkat dan ketika itu kita hampir meminjam dari IMF tetapi Mantan PM ketika itu Tun Dr Mahathir membuat keputusan luar biasa dengan menetapkan exchange rate kita ditetapkan pada tahap RM3.80. Dan dengan langkah Tun tersebut, ia memberikan masa untuk kita menstabilkan keadaan ekonomi.

Saya bekas penganalisis pelaburan di sebuah syarikat di bawah Bursa KLSE satu ketika dahulu. Antara kerja saya waktu itu adalah membuat dan menulis laporan mengikut Fundamental Analysis dan Technical Analysis melihat data-data ekonomi yang ada. Dan saya menyaksikan pasaran saham "free fall" waktu itu - index KLCI menjunam macam perenang melompat ke dalam kolam dari papan lompatan.

Saya berkongsi pengalaman waktu itu untuk menjadi iktibar ramai daripada anda hari ini.

Di mana pun halatuju keadaan ekonomi kita, mari kita sama-sama beringat. Pilih barangan buatan Malaysia. Kontrol perbelanjaan kita. Tingkatkan tahap simpanan kita samada dalam bentuk tunai atau emas.

Bagi yang makan gaji, mulakanlah berjinak-jinak dengan selok belok bisnes. Langit tidak selalunya cerah tapi kita tadah air sebelum kemarau tiba, jika ada. Tingkatkan pendapatan samada dengan berniaga kecil-kecilan secara sampingan atau full time tapi mestilah dengan modal yang rendah dan mestilah dengan mempunyai ilmu. Tonton video YouTube saya "Tanya Dr Azizan - Episod 1" untuk tahu bagaimana untuk mulakan bisnes atau baca buku bisnes saya "Kuasai Pemasaran, Rahsia Menarik Pelanggan" yang mengajar bagaimana mulakan bisnes dengan tanpa modal atau dengan modal yang kecil. Jangan meminjam untuk mulakan perniagaan.

Walau apapun keadaan ekonomi, Insya Allah masih ada banyak peluang untuk anda berniaga di luar sana. Bangsa Cina sejak dahulu lagi telah mulakan tradisi keluarga mereka untuk memilih perniagaan sebagai kerjaya bukan memilih kerja kerajaan sebagai kerjaya utama. Tak salah, itu pilihan sendiri. Tapi jangan salahkan orang lain bila kita sendiri tidak mahu menjadikan perniagaan sebagai tradisi kita.

Saya pernah lihat kegawatan ekonomi beberapa kali sebelum ini. Saya tidak kata keadaan ekonomi kita telah gawat, tetapi saya mencadangkan kita beringat-ingat. Bila kos sara hidup meningkat, kesannya adalah kepada semua lapisan masyarakat terutamanya keluarga yang berpendapatan kecil dan sederhana. Tetapi tetap Insya Allah ini saat paling baik untuk memulakan dan membina perniagaan.

Anda boleh kata, ini semua ilusi atau karut tetapi bila anda dahulu bawa RM50 ke pasar boleh beli banyak barang dibandingkan dengan hari ini lebih sedikit barang, maka ia bukan lagi satu ilusi. Berpijaklah di bumi yang nyata bahawa kita perlu kemaskan pengurusan ekonomi dan kewangan keluarga kita selain mudah-mudahan pihak pemimpin sedang melakukan apa yang mereka perlu lakukan untuk menguatkan ekonomi negara. Kita perbaiki ekonomi dan pengurusan kewangan diri serta keluarga kita.

Ini ingatan kasih sayang dari saya dan jika anda tidak suka diingatkan, terpulang kerana ia tidak ada beza kepada saya. Saya berikan ingatan buat anak didik saya dan mereka yang suka diingatkan.

Salam sayang
‪#‎AzizanOsman‬

No comments:

Post a Comment